Hari Arafah; Pentingnya Ibadat Haji

1632

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Satu program yang dinamakan sebagai Hari Arafah akan diadakan pada 21 Ogos ini bersamaan 9 Zulhijjah iaitu sehari sebelum Aidil Adha yang bertempat di Taman Tamdun Islam (TTI).

Tujuan program ini adalah bagi memberikan kesedaran kepada umat Islam tentang betapa pentingnya ibadat haji yang sekaligus turut mempromosikan TTI sebagai satu tempat perkongsian ilmu.

Mengulas berkenaan rancangan ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata program yang pertama kali diadakan ini akan menumpukan kepada forum berkaitan Hari Arafah.

“Kita merancang mengadakan program forum perdana bagi memberikan sedikit gambaran ilmu berkenaan ibadat haji, korban dan bagaimana perkara-perkara itu berkait dengan kehidupan kita.

“Sebagaimana yang kita tahu, Arafah adalah rukun haji, menunjukkan kepada kepentingannya kepada kita untuk berkumpul di sana dengan satu matlamat dan segala perbezaan diketepikan.

“Inilah yang mesti kita fahami sebagai hamba kepada Allah, kita sama di sisi Allah kecuali orang yang bertaqwa.

“TTI juga insyaAllah akan mendapat manafaat apabila kita sentiasa menceriakannya dengan program-program berbentuk keagamaan sesuai dengan keadaannya,” kata beliau.

Beliau ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa program bersama dengan kakitangan TTI di sana.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) Ustaz Kamruzzaman Abdullah.

YB Ustaz Mohd Nor dan juga Ustaz Kamaruzzaman dibawa meninjau cadangan persiapan tempat oleh Pengurus Bahagian Makanan Dan Minuman TTI Encik Ahmad Saiful Khalid Ahmad Kisai

Kedua mereka kemudiannya dibawa menyusuri Sungai Terengganu, iaitu antara salah satu produk TTI yang ada.