Harga Barangan Melambung; Apakah Puncanya?

1455

Oleh : M. Azrin M. Aris

Dahulu ketika zaman Nabi SAW, apabila dilaungkan sahaja seru azan oleh Bilal Rabah, sahabat-sahabat yang mendengarnya terus bersegera ke Masjid Nabawi. Hatta yang berniaga juga bergegas meninggalkan barang-barang perniagaan mereka seketika. Tidak pernah timbul isu kecurian pada barangan yang ditinggalkan itu.

– Sewaktu pemerintahan Amir Mukminin Umar AlKhattab, pernah seorang ibu ditegur puterinya kerana ingin mencampur air ke dalam susu jualan mereka. “Walau Umar tidak nampak, namun Tuhan Umar maha Melihat.” Kata-kata itu mampu menyedarkan ibunya.

– Pertuduhan Saidina Ali kepada seorang Yahudi yang telah mencuri sut perangnya telah ditolak oleh mahkamah kerana tiadanya bukti kecurian walau pun memang benar si Yahudi telah mencurinya. Saidina Ali ketika itu adalah seorang Khalifah. Keadilan mahkamah Islam telah membuatkan si Yahudi tersebut memeluk Islam serta mengaku bersalah.

– Dana baitulmal atau pun hasil dari kutipan zakat ketika pemerintahan Umar Abdul Aziz tidak dapat diagihkan kepada rakyat disebabkan semua rakyat telah merasa cukup dengan apa yang ada dan tidak berhajat lagi kepada bantuan zakat.

– Khalifah Muktasim pula pernah menghantar bala tentera Islam demi untuk menebus maruah seorang ibu tua yang telah diperhinakan oleh puak Yahudi.

Begitulah antara contoh keamanan, keselesaan, dan kekuatan izzah yang dianugerahkan Tuhan apabila negara dan pemerintahannya berjalan seiring dengan tuntutan agama.

Krisis ekonomi yang ketara dan fenomena kenaikan harga barangan yang semakin parah dan tidak terkawal pada hari ini adalah kerana pemerintahan negara tidak lagi mengambil rul agama sebagai panduan tertinggi.

Harga minyak misalnya, petrol mengalami kenaikan sebanyak 15sen per liter dan minyak masak pula dinaikkan hampir sebanyak RM2 bagi setiap kilogram. Kedua-dua item ini sebenarnya adalah hasil bumi yang melimpah ruah di negara ini, namun mengapa rakyat sebagai penghuni tanah yang melimpah tuaiannya ini terus dimangsakan dengan harga yang diluar kewarasan? Di mana silapnya?

Rompakan, kecurian, penipuan, rasuah, ketirisan, ketidak-adilan, dan pelbagai lagi kewujudan jenayah kolar putih yang berjalan secara ghaib akan pasti dan selamanya akan terus merosakkan sosio budaya, kerukunan masyarakat berbilang bangsa, serta menjahanamkan sistem kenegaraan yang dibina dalam negara ini.

Kenaikan harga barangan hanya merupakan sejuzuk dari siri bebanan serta kesengsaraan yang harus ditanggung oleh rakyat marhaen. Punca utamanya adalah kerana jauhya dari rahmat Tuhan. Dan pelbagai siri bebanan lagi yang pasti dilalui oleh rakyat seandainya pemerintahan masih angkuh degil untuk tunduk kepada dustur agama yang mulia.

Bukankah dalam Quran dinyatakan bahawa sekiranya sesebuah negara itu beriman serta tunduk patuh kepada segala aturan Tuhan, akan dibukakan untuk negeri itu keberkatan dari langit dan bumi?

Bukankah Al-Quran juga menyatakan negeri tersebut akan menjadi sebuah negeri yang penuh dengan kebaikan dan juga keampunan daripada Tuhan?

Justeru, kembalikan ruh agama dalam pemerintahan negara. Atau masih ada lagikah nikmat dan ayat-ayat-Nya yang kita dustakan?

***M. AZRIN M. ARIS ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu.