Hanya Parti PAS Yang Tenang

9332

MARANG – Hanya PAS, satu-satunya parti yang tenang, berbanding dengan parti-parti lain walaupun terdapat dakwaan ‘tsunami‘ politik berlaku.

Ketua Pemuda PAS Pusat YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia menunjukkan kekuatan PAS terletak pada dasar perjuangan dan kepimpinannya serta dokongan daripada ahli dan penyokong.

“PAS bimbang suasana politik yang tidak sihat sedang berlaku dalam negara khususnya budaya lompat melompat parti yang sedang kita saksikan pada hari ini,

“dan ini adalah satu budaya politik yang boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan serta kebajikan rakyat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia, masjid Rusila pada Ahad, 13 Mei.

Oleh itu katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan persekutuan yang baru sahaja dibentuk walaupun tidak sepenuhnya lagi.

“Menteri yang pertama mengangkat sumpah ialah negeri Kelantan dan negeri yang terawal membentuk semua kabinet dan EXCO-EXCO adalah negeri Terengganu,

“jadi kedua-dua negeri ini adalah di bawah PAS yang memenangi dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 baru-baru ini dan menunjukkan kestabilan negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS,” ujarnya.

Menurutnya, PAS mendapat undi popular yang jauh lebih banyak berbanding sebelum daripada ini yang menunjukkan peningkatan hubungan rakyat kepada PAS.

“Melihat kepada perkembangan semasa yang berlaku satu perkembangan yang tak pernah berlaku dalam sejarah politik negara kita,

“apabila kerajaan persekutuan berubah daripada kerajaan sebuah parti yang dahulunya bersama pakatan kemudian Barisan Nasional (BN) akhirnya jatuh kepada Pakatan Harapan,

“dan PAS mengambil beberapa asas antaranya kita mahu Pakatan Harapan yang mengambil tampuk pemerintahan peringkat Persekutuan ini menghormati perlembagaan negara,

“Negara yang meletakkan Islam sebagai utama negara raja-raja dan hak-hak orang melayu serta masa yang sama menghormati bangsa kaum lain,” jelasnya.

Tambah YB Ustaz Muhammad Khalil lagi, aspek yang paling penting dalam perlembagaan ialah semangat federalisme mestilah ditunaikan dan tidak mengulang kesilapan yang pernah dilakukan oleh Umno BN.

“PAS akan memantau janji-janji manifesto Pakatan Harapan yang melibatkan hubungan kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri berkenaan dengan isu royalti di negeri Kelantan dan Terengganu,

“Jadi perlu dihormati apa yang telah diletakkan dalam perlembagaan hak kerajaan negeri Terengganu khususnya untuk dapat royalti daripada kerajaan persekutuan yang ditarik balik ketika PAS memerintah dahulu,”tambah beliau.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa pemantau yang melibatkan parti dan juga rakyat di dua negeri yang diperintah oleh PAS iaitu Kelantan dan Terengganu untuk memastikan manifesto yang ditawarkan dapat dilaksanakan.

“Dan PAS bergerak secara kolektif bukan sahaja daripada parti serta dalam konteks ini PAS telah diberi kepercayaan oleh rakyat,

“Maka PAS percaya dapat melaksanakannya dengan baik dengan kerjasama daripada penjawat awam dan juga hubungan daripada rakyat,”katanya.