Gerakerja ‘Membumikan’ Kebajikan Sebagai Strategi Gerakan Islam

1494

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

PAS hampir menjangkau umurnya 65 tahun di medan operasi siasah,dakwah dan tarbiah negara ini. Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa di tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini, malah menempa nama di persada antarangsa. Diakui lawan dan kawan, bahawa harakatul ummah ini mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap daripada pra sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi. Petugas PAS dengan sejuta keahlian adalah aset PAS yang paling berharga, mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam.

Pemukiman Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat yang diadakan di Impian Rimba Resort Selangor hujung minggu ini adalah untuk mengarusperdanakan gerakerja kebajikan dalam harakatul ummah ini. Biar PAS diingati dalam minda sedar rakyat bahawa PAS ialah kelompok manusia yang sentiasa muncul disaat kepayahan dan kejerihan. Biar seluruh sektor masyarakat meletakkan PAS dalam jenama kebajikan yang sangat piawai.

Lujnah kebajikan memikul tangggungjawab yang besar akibat kehidupan rakyat semakin dijerut dengan kepayahan, penggangguran yang melata, krisis ekonomi serta inflasi yang semakin mencanak. Rakyat menilai parti politik melalui gerakerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik. Begitu juga gerakan Islam antarabangsa yang menonjol dalam gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan. Jamiat Islami contohnya, mempunyai pelbagai jaringan sivil untuk menebarkan kepedulian dan gerakerja kebajikan, antaranya PIMA, Pasban, Masjid mision dan lain-lain lagi.

Di antara skop kerja lujnah antaranya adalah melonjakkan parti dalam isu berkaitan, berkerjasama dengan pihak-pihak lain seperti Agensi Kerajaan, NGO dan tokoh dalam skop portfolio. Seterusnya, mewujudkan Majlis Perundingan mahupun Penasihat dalam skop masing-masing dalam kalangan tokoh bebas bersama kepakaran dalaman. Kemudian, berusaha membangunkan tenaga kepakaran serta pangkalan data berkaitan, dan menyediakan laporan berkala dan laporan khas apabila perlu.

Lajnah juga perlu membina visi, merancang, melaksana, memantau dan mengambil tindakan, di samping turut memahami struktur organisasi, Jentera Kementerian, dan Akta Peraturan berkaitan, dan menangani isu semasa yang timbul berkaitan kementerian atau portfolio berkenaan. Selain itu, lajnah perlu mengenalpasti kelemahan, menyediakan ruang penambah baikan, dan cadangan penyelesaian Islam bagi portfolio berkenaan. Seterusnya, mengenal pasti prinsip, dan hukum hakam Islam dalam isu berkaitan portfolio berkenaan.

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan yang dipimpin oleh Dr Rosni Adam telah berjaya mengadakan pelbagai program turun bersama masyarakat. Antaranya seperti program Korban Perdana di Sarawak, mengadakan bantuan kepada fakir miskin termasuk turun ke kawasan-kawasan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, membantu penoreh getah yang kesusahan di Kedah dan Perak, juga terlibat dalam bantuan banjir, membantu mangsa kebakaran, menyalurkan pelbagai bantuan tanpa mengira masa. Antara tenaga-tenaga penting dalam lujnah ini antaranya Haji Abu Bakar, Cikgu Yusuf Abdul Hamid, Wan Mustapha Wan Abd Razak, Mr Bala, Ustaz Norazli Musa, Saudara Faizal Yusuf, juga turut dibantu oleh tenaga-tenaga muda seperti Ustaz Meor, Mardhiah Hayati dan juga para amilin Lujnah Kebajikan dari pelbagai lapisan peringkat dan dari pelbagai latar belakang pendidikan.

Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan pada sesi ini mempunyai engagement dengan NGO-NGO yang beraspirasikan kebajikan, termasuklah membantu misi-misi kemanusiaan di luar negara. Antaranya misi-misi bantuan pelarian Rohingya, Syria dan Palestin. Lujnah Kebajikan juga telah mewujudkan Pusat Aduan Sosial yang terletak di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut. Pusat Aduan Sosial ini menjadi medan aduan juga menjalankan sesi kaunseling bagi masyarakat yang memerlukan khidmat tersebut. PAS telah menempa nama apabila Lujnah Kebajikan berjaya menjadi benteng hadapan dalam memperkenalkan PAS sebagai sebuah gerakan yang cakna masyarakat.

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan pada sesi ini juga telah mengambil inisiatif untuk turun ke peringkat negeri mengadakan taklimat, termasuk memberikan fokus kepada khidmat kebajikan dan kemasyarakatan di bumi Borneo, Sabah dan Sarawak. Lajnah ini mengalu-alukan respon dari seluruh ahli jamaah untuk menyalurkan maklumat tentang kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh masyarakat. Di samping membuka peluang kepada rakyat negara ini, khususnya ahli PAS untuk berbakti dengan menyalurkan sumbangan berbentuk wakaf atau infaq mereka kepada lujnah, dan seterusnya akan disalurkan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

(Penulis adalah Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat)