Exco Jumpa Kakitangan UKOM Lawat Manis FM

4255

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah semalam telah mengadakan satu pertemuan mesra dengan kakitangan Unit Komunikasi Terengganu (UKOM).

Pertemuan muhibah dengan seluruh jentera Ukom yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Ukom, Encik Muhd Aimin Tahir itu, telah diadakan di bilik mesyuarat di pejabat Ustaz Mohd Nor di tingkat enam Wisma Darul Iman.

Turut hadir ialah Pengarah Ukom baharu dilantik, Ustaz Sood Said yang kali pertama diperkenalkan kepada umum.

Mantan Timbalan Pengarah Ukom, Encik Roslan Abdul Rahman yang turut hadir memaklumkan bahawa, dalam ingatan beliau, inilah kali pertama Exco mengadakan perjumpaan dengan kakitangan Ukom.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 40 minit itu, sesi perkenalan dan soal jawab diadakan bagi mengenal pasti arah tuju baharu Ukom setelah bertukar kepimpinan.

Antara yang ditanya adalah kekuatan jentera Ukom, rutin tugasan Ukom, asetnya serta soalan daripada kakitangan pula ialah berkenaan kedudukan kakitangan Ukom setelah kerajaan baharu mengambil alih.

Ustaz Mohd Nor juga turut mengumumkan nama baharu bagi bakal menggantikan Ukom iaitu Agensi Penerangan Dan Media Terengganu (APMT) selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco.

Untuk rekod, Ukom ditubuhkan bagi membantu kerajaan negeri terdahulu memberi penerangan kepada polisi-polisi kerajaan kepada rakyat Terengganu dan kebanyakan jawatan yang ada adalah lantikan politik.

Ustaz Mohd Nor dan Ustaz Sood kemudiannya pula bergerak ke stesen Manis fm di Chabang Tiga bagi lawatan seterusnya seusai pertemuan dengan kakitangan Ukom.

Mereka berdua disambut oleh kakitangan Manis fm dan diberikan penerangan oleh Pengurus Besar Manis fm Encik Ozarizan Mohd Nor berkaitan operasi Manis fm, stesen radio milik kerajaan negeri itu.

Menurut Ozarizan, sepanjang tempoh dua tahun yang lalu, Manis fm telah mencatatkan peningkatan pendengar sebanyak lebih tiga kali ganda iaitu dari 70 ribu kepada 240 ribu pendengar.

Beliau percaya, Manis fm yang kawasan penyiarannya meliputi di negeri-negeri Pantai Timur itu berpontensi menjadi salah sebuah stesen penyiar utama dan berharap agar kerajaan negeri membantu mereka menjayakan cita-cita itu.

Beliau turut melahirkan keinginan untuk mengadakan lebih slot rancangan keagamaan yang mana beliau yakin, slot sebegitu juga ramai peminatnya, memandangkan kerajaan sekarang mempunyai tenaga ilmuan Islam yang ramai.

Lawatan diakhiri dengan temuramah bersama YB Ustaz Mohd Nor dalam program bual bicara dan promosi kepada program Madinah Ramadan anjuran kerajaan negeri yang sedang berlangsung di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.