ERT Kemaman Dapat Pujian PJ Johor

1214

KEMAMAN – Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pasukan Emergency Response Team (ERT) PAS Kemaman.

Katanya, meski pun operasi ERT dalam keadaan serba kekurangan tetapi mampu melaksanakan tugas sukarelawan dengan baik dan cemerlang.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada team “ERT” ini kerana satu tindakan pantas dan cekap, walau pun dalam keadan serba kekurangan boleh membantu dan orang lain boleh mempercayainya.

“Saya telah diberi taklimat tentang peranan pasukan ERT ini hingga rakyat umum tahu siapa yang mendepani cabaran penyelamat dan membantu mangsa banjir di Kemaman,” jelasnya.

Beliau berharap agar kerajaan Terengganu dapat membantu semua mangsa-mangsa bencana banjir ini dengan kadar yang sewajarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Ya’ani berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan RM3,000 dan bantuan bekalan makanan kepada PAS Kawasan Kemaman, di Pusat Gerakan Operasi Banjir PAS Kemaman pada Sabtu 14 Disember.

Beliau berkata, Johor pernah menerima nasib yang sama dari musibah banjir yang berlaku di Terengganu hingga meliputi keseluruhan negerinya.

Menurutnya, situasi kesusahan mangsa-mangsa banjir amat memeritkan kerana mereka kehilangan harta benda yang disayangi.

Namun, katanya apa yang lebih penting dan mustahak tidak berlaku kehilangan nyawa di kalangan ahli keluarga mangsa-mangsa banjir.