Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Raub yang mencadangkan supaya diwujudkan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam. Cadangan ini bukan sahaja tidak berasas malah berpotensi mencetuskan polemik yang tidak diingini dalam masyarakat majmuk Malaysia.
2. Seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama Persekutuan dan ia diberikan kedudukan yang istimewa dalam sistem pentadbiran dan perundangan negara kita. Dalam masa yang sama, kebebasan beragama bagi penganut agama lain telah dijamin sepenuhnya di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Namun, kita harus sedar bahawa jaminan ini tidak boleh disalahgunakan untuk mencabar kedudukan Islam atau menuntut sesuatu yang tidak termaktub dalam kerangka Perlembagaan.
3. Malangnya, kita kini menyaksikan situasi “kaduk naik junjung”, di mana ruang yang telah diberikan untuk keharmonian dan kebebasan agama mula dipersoalkan dan dituntut lebih daripada apa yang wajar. Hari ini, urusan agama sering dicampuri secara terbuka dan kini cadangan untuk mewujudkan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam pula diajukan. Soalnya, adakah ini benar-benar demi perpaduan atau sekadar agenda tersirat untuk mengubah struktur asas negara?
4. Saya ingin mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai Kementerian Perpaduan dan pelbagai jawatankuasa yang memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian antara kaum dan agama. Fungsi ini telah berjalan dengan baik dalam menguruskan isu-isu berkaitan agama dan masyarakat tanpa mencetuskan perbalahan. Maka, cadangan untuk menambah seorang Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam adalah sesuatu yang tidak perlu dan membazir.
5. Saya menyeru semua pihak terutama Ahli Parlimen untuk bersikap lebih bertanggungjawab dalam membuat cadangan yang melibatkan sensitiviti agama dan perpaduan negara. Jangan biarkan isu seperti ini mencemarkan prinsip yang telah menyatupadukan rakyat Malaysia.
Ahmad Amzad Hashim
AJK PAS Pusat/ Ahli Parlimen Kuala Terengganu
13 Februari 2024