Oleh : Muhammad Hibatul Jihadi Mad Daud
MARANG – Para guru PASTI. pendidik dan tenaga pengajar dalam PAS diamanahkan untuk memainkan peranan penting dalam aspek tarbiyyah dan pendidikan.
Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, ia bertujuan memperkukuh peranan guru serta memperkasa hala tuju pendidikan Islam di negeri ini.
“Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berdiri atas tiga tonggak utama, iaitu siyasah (politik), dakwah (penyebaran Islam), dan tarbiyyah (pendidikan).
“Perjuangan PAS bukan semata-mata dalam arena politik, tetapi turut mengambil tanggungjawab besar dalam pendidikan bagi memastikan negeri dan negara ini dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam yang berpegang teguh kepada prinsip Islam,” ujarnya.


Beliau berkata demikian Ketika dihubungi, mengulas Pertemuan Mahabbah antara Guru PASTI dan Majlis Tindakan DUN (MTD) Rhu Rendang yang diadakan pada Khamis 6 Februari.
Katanya, pendidikan bukan sahaja penting di dunia, bahkan juga di akhirat,
“Menjadikan peranan guru sebagai pendidik amat signifikan dalam mencorakkan masa depan generasi yang akan datang,” ujarnya.
Turut hadir pada pertemuan tersebut Pengerusi PASTI Kawasan Marang, Ahmad Nazirul Ismail; Penyelaras Pemuda Dun Rhu Rendang, Ziyad Zakaria, Ketua Ameerah DUN Rhu Rendang, Syarifah Noorsheikha Syed Mahmud, serta Penyelaras PASTI DUN Rhu Rendang, Mohd Fakhruddin Zakaria.
Program tersebut diakhiri dengan sesi perbincangan dan perkongsian pandangan dalam usaha memperkukuhkan sistem pendidikan Islam di peringkat akar umbi.































