Saya merasa terpanggil apabila ada dalam kalangan Melayu yang buta sejarah agamanya sendiri, membuat kenyataan bahawa bangsa Cina takut terhadap Islam yang dibawa oleh PAS. Bahkan, ada juga Melayu yang bertindak menyertai DAP yang nyata sikapnya anti-Islam kerana ketakutan yang sama. Kenyataan yang dikeluarkan itu menunjukkan kejahilan dirinya atau fikirannya yang masih dijajah. Sehinggakan, perbuatan itu laksana kata-kata pantun Melayu:
Melukut di tepi gantang,
Buka sanggul mencari kutu,
Orang takut akalnya hilang,
Jumpa tunggul dikata hantu.
Mereka boleh mengikuti DAP yang sesat prinsipnya atau hanyut tanpa konsisten dalam perjuangan menentang rasuah yang kuat dilaungkan selama ini, semata-mata kerana mengejar kuasa.
Padahal mereka menyaksikan bagaimana negeri-negeri yang kuat pengaruh PAS atau diperintah oleh PAS, namun mereka sengaja menunjukkan kebebalan atau sengaja membodohkan diri sendiri atau mencipta sangkaan jahat. Keadaan mereka itu laksana firman Allah SWT:
﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ١٠٩﴾
“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah al-Baqarah: 109]
Saya pernah melawat negara China beberapa kali, menyaksikan beberapa masjid bersejarah yang dibina pada masa awal kedatangan Islam pada era Khulafa’ al-Rasyidin, bahkan ada katanya telah dibina sejak zaman Rasulullah SAW, kerana hubungan dagang antara Arab dengan China berada sejak awal sebelum kelahiran Rasulullah SAW, lebih dahulu daripada ketibaan Islam di Nusantara. China telah menjadi kunjungan para pengembara dan pedagang Arab sejak awal lagi.
Maka, Kerajaan China mempunyai hubungan damai dengan Islam, apabila mereka menerima berita kejatuhan kuasa besar Parsi dan Rom. Hal ini berlaku setelah mereka mengetahui pemerintahan Islam yang adil, bukannya menjajah atau menyamun seperti bangsa Eropah yang rakus menjajah. Kalau dihalang, maka rakyat China juga pasti akan menyambut kedatangan Islam.
Adanya kalangan Raja China daripada Dinasti Ming yang menganut Islam. Malah, Laksamana Cheng Ho yang terkenal juga menganut Islam.
Kublai Khan daripada bangsa Tatar yang memerintah China, tertarik kepada penganut Islam kerana berakhlak mulia, berintegriti dan tidak mengamalkan rasuah. Sehinggakan, Kublai Khan melantik penganut Islam menjadi pemimpin daerah dan pegawai tinggi kerajaan, menjadikan kerajaannya dapat bertahan lama.
Islam menimba tamadun ilmu bermanfaat daripada negara China kerana sifat terbuka dengan menerima semua perkara yang baik daripada semua kaum serta menolak perkara yang buruk dan zalim walaupun datangnya dari Makkah.
Masih banyak lagi masjid di China tidak dirobohkan oleh Revolusi Kebudayaan ketika era Mao Zedong kerana disesuaikan bangunannya dengan seni bangunan Cina yang tidak mempunyai apa-apa lambang agama.
Sebenarnya ramai kalangan mereka yang dihantui oleh pembohongan propaganda orientalis yang berniat jahat. Dan kini, membawa propaganda Islamofobia bagi menghalang pengaruh Islam yang dianggap menjadi suatu ancaman khusus kepada tamadun Barat yang kini sedang menunjukkan tanda merudumnya.
Segala propaganda itu terdedah melalui kenyataan negatif beberapa orang tokoh ilmuwan dan tokoh politik Barat yang dipengaruhi penulisan golongan orientalis yang penuh dengan pembohongan dan propaganda Islamofobia secara dengki terhadap Islam atau jahil, bukan secara ilmu bagi mencari kebenaran.
Islam menggalakkan dialog ilmu secara bijaksana dan menentang sebarang cara yang melampau dan zalim. Firman Allah SWT:
﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥﴾
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berdebat menghadapi mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Nahl: 125]
Firman Allah SWT:
﴿وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٤٦﴾
“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim antara mereka, dan katakanlah, ‘Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.’” [Surah al-‘Ankabut: 46]
Adanya kenyataan bertulis dalam kitab-kitab suci daripada berbagai-bagai agama berkenaan kedatangan Rasul akhir zaman.
Terdapat banyak kumpulan Islam dan tokoh ilmuwan perbandingan agama yang bersedia berdebat mengikut budaya ilmu bersama tokoh ilmuwan Islam dalam perbandingan agama seperti Almarhum Ahmad Deedat dan terkini Dr. Zakir Naik yang masih berada dalam kalangan kita, boleh diajak untuk berbincang secara sopan tanpa bersikap fanatik.
Ketika berlaku Perang Korea dalam tahun 50-an, kemudiannya Perang Vietnam dan menjalar pengaruh komunis di Eropah Timur yang dikhuatirkan berlaku teori domino, beberapa orang diplomat Barat membuat kenyataan bahawa Islam lebih bahaya daripada komunis. Hal ini demikian kerana, ajarannya yang pernah menakluk hati manusia bukan sahaja negara yang diperintah olehnya.
Kedatangan Islam di seluruh pelosok dunia bukan untuk menjajah dan merompak, tetapi bagi menentang kezaliman yang berlaku terhadap rakyat dan Islam yang dijadikan sasaran. Hal ini disebabkan penerimaan rakyat kepada pengaruh ajaran Islam yang adil kepada semua sehingga ia menakutkan kerajaan yang zalim.
Al-Quran sebenarnya sebuah kitab mukjizat ilmu, sama ada ilmu akal, ilmu kajian, ilmu pengalaman dan ilmu yang tidak mungkin dicapai oleh akal manusia yang bersifat lemah dan tidak mengetahui semua perkara. Lalu, akhirnya al-Quran memberikan jawapan yang tepat daripadanya, sekali gus menunjukkan sebenarnya ia datang daripada Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Adil dan Maha Rahmat yang tidak terhingga dan terbatas.
Sehingga kini dan sampai bila-bila, cabaran Allah kepada sesiapa sahaja yang menentang Islam ini tidak akan dapat disahut. Firman Allah SWT:
﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤﴾
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang sama seperti al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka, jika kamu tidak dapat membuatnya dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu daripada neraka yang bahan bakarnya daripada kalangan manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir (yang menentangnya kerana tidak percaya). (24)” [Surah al-Baqarah: 23-24]
Kini, kita menyaksikan masalah yang dialami oleh manusia seluruh dunia dalam kehidupan diri, keluarga, masyarakat, negara yang berlaku dari aspek politik, ekonomi, sosial dan alam sekitar. Dalam hubungan antara manusia dan makhluk yang lain di sekelilingnya juga mengalami masalah penyakit jasad, roh, akal dalam diri, keluarga dan masyarakat yang besar serta alam sekitarnya kerana menyanggah atau melanggar atau melampaui sempadan yang menjadi ketetapan Allah Pencipta alam. Firman Allah SWT:
﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 26 Safar 1445 / 12 September 2023
[Bil: 77 / 2023]