Langgar Perjanjian, Guna Wang Royalti Petroleum ‘Haram’

150

KUALA TERENGGANU – Tindakan kerajaan persekutuan melanggar perjanjian royalti petroleum antara Petronas dan negeri-negeri pengeluar minyak termasuk Terengganu adalah perbuatan haram.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, wang royalti sebanyak lima peritus yang wajib diserahkan kepada kerajaan negeri, hukumnya haram jika digunakan oleh kerajaan pusat.

“Sedangkan perjanjian itu termaktub Akta Kemajuan Petroleum. Akta itu diwujudkan selepas wujud pertikaian sehingga Perdana Menteri, Tun Abdul Razak mewujudkan akta berkenaan.

“Draf perjanjian disediakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke 12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan negeri disyaratkan diagih lima peratus hasil petroleum kepada negeri pengeluar.

Oleh itu, menurutnya pelanggaran yang berlaku terhadap perjanjian itu boleh disifatkan sebagai haram kerana mengambil hasil hak milik kerajaan negeri.

“Akta Kemajuan Petroleum menyebut hasil yang ditemui sama ada di darat dan laut menjadi hak negeri cuma diberi kepada Petronas bagi mengurusnya.

“Ia perlu diagih 5 peratus kepada negeri daripada jumlah pengeluaran. Haram apabila ada pihak melanggar perjanjian itu.” tegasnya.

Beliau turut memberi peringatan agar kerajaan tidak mengamalkan polisi ‘talam dua muka’ dan curang dalam mengagihkan hasil yang dipungut oleh agensi daripada rakyat negeri.

“Jangan berlaku ‘double standard’ hasil-hasil yang dipungut di negeri-negeri tidak diberi semula kepada negeri terbabit,” ujarnya.

Dalam ucapan yang sama, mantan Naib Pengerusi Kesatua Ulama Sedunia itu turut memberi ingatan, kenaikan harga barangan keperluan harian yang membebankan rakyat perlu diberi keutamaan oleh kerajaan.

Namun, katanya kerajaan Madani yang tidak tahu arah tuju sekarang, hanya sibuk memberi penekanan kepada aspek lain.

“Nak turunkan harga daging lembu dan harga ayam kena ambil tindakan terhadap ‘kartel’ pembekal input ternakan, bukannya nak turunkan harga daging,

“naik atas belakang lembu,” ujarnya menyindir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.