Cantik Dan Sihat Bersama Muslimat Marang

1655

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Marang komited dalam usaha membangunkan wanita dalam aspek kesihatan dan ekonomi dengan penganjuran Program “Cantik, Sihat dan Jana Pendapatan”.

Ketua Lajnah Ekonomi Dewan Muslimat PAS Kawasan Marang, Nazra Mat berkata, program ini adalah julung-julung kali diadakan.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada Muslimat untuk menambah lagi dana atau tabung di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan cawangan masing-masing.

“Dengan adanya tabung ini, kita akan dapat mengerakkan lebih banyak program-program pentarbiahan dan kebajikan di peringkat DUN mahupun cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bilik Mesyuarat Pejabat PAS Kawasan Marang, Rusila, semalam (18 September).

Menurutnya, program ini akan menjana pendapatan kepada lajnah ekonomi seterusnya memberi impak yang lebih besar bagi menarik lebih ramai lagi keahlian PAS terutamanya daripada kaum hawa.

Selain itu, produk ini bakal membuka peluang pekerjaan sambilan untuk Muslimat menjana pendapatan, terutamanya bagi mereka yang bergelar suri rumah.