Buat Almarhum Ustaz Dato’ Muhammad Bin Daud Al Iraqi…..

2674

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Siang mula melabuhkan tirainya apabila saya mula menerima berita kematian almarhum Ustaz Mat Iraq, seorang tokoh pendidikan dalam PAS malah mempunyai reputasi sebagai pakar fiqh mazahib. Sosok yang alim , merendah diri dan mempunyai ingatan yang kuat. Sebelum mengenali almarhum , saya terlebih dahulu mengenali anakanda beliau Hasan al Banna, semasa menuntut di kampus Universiti Malaya. Hasan al Banna , demonstran tegar di kampus dan kami tinggal di kolej yang sama, Kolej Kediaman Pantai Puri UM yang menghimpunkan demonstran tegar kampus UM.

Hasan al Banna yang berseluar jeans itu mendapat nama tokoh besar pendiri harakah Ikhwanul Muslimin ,gerakan dakwah fenomena abad ke 20. Mungkin kerana kecintaan ayahandanya kepada murabi gerakan Islam terkenal itu dan kecintaannya pada tarbiah Ikhwan, kerana beliau semasa muda mendapat tarbiah secara langsung daripada Ikhwanul Muslimin semasa belajar di Iraq.

Ustaz Mat Iraq, begitulah panggilan paling popular terhadap tokoh ulama ini, beliau mendapat pendidikan awal Islam di Pondok Tok Kenali Kubang Kerian selama 13 tahun. Pondok agama yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Yusuf al Kenali yang mencicip ilmu selama 22 tahun di Mekah, dimajukan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Bakok, anak Tok Kenali. Almarhum seterusnya belajar diperingkat menengah di Maahad Muhammadi Merbau, Kota Bharu dan pernah dinobat sebagai pelajar terbaik sekolah tersebut. Beliau meremaja dengan watak cintakan ilmu dan pengetahuan, maka tidak pelik jika puluhan tahun selepas zaman persekolahan,figura ini menjadi pakar rujuk ilmu Islam terutama fekah empat mazhab.

Almarhum, dengan reputasi sebagai pelajar pintar dan berbakat akhirnya dipilih belajar ke Universiti Baghdad. PAS menguruskan penghantaran beliau belajar di negara Teluk itu yang akhirnya menjadi tenaga penting kepada perjuangan Islam. Pada tahun 1963, satu rombongan pelajar Malaysia telah dihantar belajar ke Baghdad yang terdiri daripada 10 orang pelajar. PAS telah diberi peluang menghantar pelajar itu dengan ihsan daripada Perdana Menteri Iraq Muhammad Arif as Salam yang merupakan seorang aktivis Islam Iraq. Ikhwanul Muslimin Iraq mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh PAS di Malaysia, juga kerajaan Iraq yang turut memberikan bantuan kepada YPTIK Nilam Puri yang ditubuhkan oleh Kerajaan Kelantan. PAS telah memilih anak-anak muda yang berpotensi dan dilihat mempunyai tendensi untuk menjadi penyambung perjuangan. Mereka alumni sekolah-sekolah agama yang terpilih dari seluruh negara. 10 pelajar itu ialah:

1. Ustaz Hasan Syukri
2. Ustaz Mohamad Daud Iraqi.
3. Ustaz Hashim Jasin
4. Ustaz Abdul Rahim Md Zain
5. Ustaz Hasbullah Kasban
6. Ustaz Abdul Ghani Kasa
7. Ustaz Dahlan Muhammad Zain
8. Ustaz Azmi Ahmad
9. Ustaz Isamuddin Haji Ahmad
10. Ustaz Abdul Halim Yahya

Mereka menghadiri kuliah secara formal dan juga program kaderisasi dakwah Ikhwanul Muslimin. Iraq mempunyai ramai tokoh pemikir Ikhwanul Muslimin seperti Sheikh Muhammad Mahmud Sowwaf dan Sheikh Abdul Aziz al Badri. Sebahagian daripada pelajar ini akhirnya menjadi aktivis PAS sama ada di peringkat Pusat atau Negeri. Daripada kalangan alumni Iraq ini, yang paling pantas menjadi pemimpin PAS ialah Ustaz Hasan Syukri. Beliau telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat beberapa tahun selepas pulang bermukim ilmu. Antara alumni Baghdad tarbiah Ikhwanul Muslimin yang masih menjadi tokoh besar PAS ialah Ustaz Hashim Jasin, Mursyidul AM PAS.

Pulang daripada bermukim ilmu di Baghdad selama empat tahun, beliau mengajar di Sekolah Arab Yaakubiah Lundang. Seterusnya menjadi Pensyarah di Kampus YPTIK (Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan), sebuah kampus yang melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuan Islam negara ini seperti Dr Fauzi Deraman, Dr Johari Mat, Dr Halim Mat Diah dan lain-lain lagi. Saat ini juga, peneraju utama YPTIK ialah almarhum Ustaz Dato Yahya Othman, sosok tarbiah antara terhebat dalam PAS. Beliau menjadi pensyarah YPTIK sehinggalah tahun 1981.

YPTIK akhirnya menjadi Pensyarah Akademi Pengajian Islam Nilam Puri Universiti Malaya, beliau terus berkhidmat di UM sehinggalah tahun 1991. Dengan kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990, banyak perubahan berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri yang mendokong motto membangun bersama Islam ini. Almarhum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Yayasan Islam Kelantan sehinggalah nama beliau dicalonkan sebagai calon PRK Lundang pada tahun 1994. PRK DUN Lundang berlaku setelah kematian Ustaz Mawardi Ahmad, cucu Tok Kenali.

Beliau telah memenangi PRK Lundang dan namanya telah mencuat pantas di arena politik. Dengan gaya serban diikat kemas, tidak lokek berbahagi ilmu dengan masyarakat terutama kuliah-kuliah ilmu, termasuk beliau kerap menggantikan kuliah ilmu Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Medan ilmu Kota Bharu. Ini tidak pelik, kerana beliau juga sering dirujuk dalam perkara ilmu oleh almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Dalam sejarah politik dan pentadbiran juga, almarhum pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Kelantan daripada tahun 1995 sehinggalah tahun 2004. Antara potfolio yang pernah beliau galang ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan, juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Penerangan.

Tokoh ulama yang mempunyai perwatakan sederhana dan zuhud ini sangat menyintai ilmu, beliau pernah menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Pengerusi ABIM Kelantan, ADUN Lundang, ADUN Demit dan pelbagai tugas serta amanah semasa hayatnya. Figura ini mengalami kemerosotan kesihatan beberapa tahun terutama akibat serangan stroke dan menjelang malam hari ini Rohnya berkelana ke alam abadi. Damailah sang murabbi setelah berpenat lelah berjuang dan berdakwah di dunia yang fana ini, moga kerehatan buatmu di dunia ‘sana’.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)