Lawatan Najib Ke Pulau Pinang : LGE Sembunyikan Sesuatu?

2076

Oleh : Khalid Abdullah

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilihat cuba menyembunyikan sesuatu apabila hanya membawa Perdana Menteri meninjau keadaan mangsa banjir di penempatan sementara sahaja.

Datuk Seri Najib Razak telah melakukan lawatan ke negeri tersebut pada Selasa untuk meninjau situasi sebenar banjir yang melanda.

Dilaporkan, hujan lebat dan angin kencang sejak dua petang dan berlarutan sehingga lima pagi pada hujung minggu lalu menyebabkan ratusan pokok tumbang dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.

Hujan yang biasanya datang dalam tempoh sebulan setengah tetapi melanda dalam masa sehari, air yang turun dari Kedah dan angin kencang dan adalah faktor luar jangka yang datang dalam satu masa menyebabkan banjir besar melanda negeri tersebut.

Selain banjir besar, kejadian tanah runtuh dengan kesan kemusnahan besar juga berlaku serentak.

Tidak pasti, isu tanah runtuh ditimbulkan atau tidak, namun apabila Perdana Menteri tidak menyentuh dalam sidang media selepas lawatan, mungkin isu ini telah cuba dikecilkan dari pengetahuan beliau.

Datuk Seri Najib Razak perlu diberi maklum dan di bawa meninjau keadaan tanah runtuh yang berlaku berhampiran lereng bukit yang menempatkan perumahan penduduk itu.

Sebagai contoh, tinjauan yang dibuat ke projek perumahan mewah di lereng bukit di Tanjung Bungah kelihatan begitu terjejas teruk dengan sebahagian binaannya runtuh akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku.

Keadaan ini terjadi selepas sebahagian jalan utama ke taman perumahan mewah itu runtuh bersama-sama bahagian anjung dan tempat letak kenderaan rumah berkembar tiga tingkat berkenaan.

Walaupun begitu dahsyat melihat kesan keruntuhan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana projek perumahan mewah itu belum diduduki meskipun telah siap dibina.

Jelas sekali, struktur tanah di kawasan lereng bukit itu dapat dilihat sangat tidak stabil dan bencana lebih buruk boleh berlaku pada bila-bila masa jika tiada langkah pencegahan diambil segera.

Jika kawasan dinaiki air boleh dilawati Perdana Menteri, mengapa tidak ke Tanjung Bungah?

Datuk Seri Najib Razak perlu diberi peluang untuk melihat sikap rakus dan angkuh kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng menarah bukit untuk dijadikan projek perumahan mewah.

Jika lawatan dibuat, publisiti percuma ini pasti akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan pimpinan DAP untuk memenangi pilihan raya akan datang ini.