BPMS; Menyelamatkan Negara Dan Rakyat

4029

Oleh KAM

MARANG – Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebenarnya dapat menyelamatkan negara dan rakyat.

Malah, pendekatan berstrategi itu ‘disambut’ oleh pemimpin kerajaan dalam beberapa program kementerian, PAS mula diajak bersama bagi menjayakannya.

Pada program Pelancaran Tukun Rig-To-Reef (R2R) dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Jabatan Peikanan Malaysia dengan Petronas, Marang Waterfront di sini, semalam Khamis 4 Mei.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek turut mengundang Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meraikannya.

Hadir sama Setiausaha Politik dan Setiausaha Peribadi kepada Presiden PAS, Dr Samsuri Mokhtar dan Haji Zaihan Daud. Berikut transkrip sidang media bersama Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi di Pulau Kapas, Marang;

Saya ucap terima kasih kerana diberi peluang untuk sama-sama menyertai pelancaran tukun yang sangat bermakna.

Bukan sahaja sebagai orang politik, kita dapat kembali kepada politik matang. Politik tidak berkelahi, politik kepentingan bersama, politik boleh berbeza pendapat. Tetapi, untuk kepentingan rakyat kita mesti bersama.

Dalam aspek ini saya ucap terima kasih mewakili Parlimen Marang termasuklah Terengganu juga dan mewakili warga nelayan kerana pelaksanaan satu projek yang sangat penting, projek bersepadu. Bukan sahaja untuk nelayan, untuk Taman Laut yang perlu dipelihara dengan sebaik-baiknya.

S: Dato’ Seri, tadi ada disebut tentang kerjasama ini merupakan suatu politik matang. Ini dalam usaha perikanan, mungkinkah ada dalam bidang-bidang lain yang mana PAS boleh bantu dalam kerjasama lain?
J: Kita melihat demokrasi barat, di negara yang matang demokrasinya. Tak ada perkara antara kerajaan dengan pembangkang walau pun bertanding pilihan raya. Bahkan, dalam kerajaan pun tidak ada yang menyekat seseorang untuk memberi pandangan dia (pembangkang) untuk melahirkan suatu kematangan. Apa yang berlaku, kita kena sedar bahawa negara kita ini warisan penjajah yang banyak benda-benda negatif yang perlu kita hapuskan. Kita cuba perkenalkan balik (semula) supaya perkara-perkara yang menimbulkan ketegangan ini, kita kena tarik ‘hand brake’ supaya berlaku suatu perkara yang menyelamatkan negara dan rakyat, lebih penting dari segala-galanya.

S: Sekiranya ada persepsi pihak yang tidak senang melihat kerjasama ini, minta komen sikit Dato’ Seri?
J: Insya’Allah, rakyat akan faham. Bila rakyat menyedari bahawa yang penting hak mereka, kepentingan mereka dijaga dengan baik, rakyat boleh berfikir dengan matang dalam perkara ini. Ini kerana, pelaksanaan secara praktikal ini lebih penting dari teori. Mereka yang bersikap negatif terhadap usaha ini lebih bergantung kepada teori dari praktikal.

S: Dato’, senario politik di Selangor sikit macam mana. Desas-desus ada mengatakan ada usaha wakil-wakil rakyat dari PKR dan Bebas untuk merampas kuasa dari kerajaan Selangor dan dikatakan mendapat restu dari Presiden PAS?
J: Dari Pulau Kapas ke Selangor (ketawa). Apa yang penting ialah semua pimpinan (PAS) Selangor akan patut kepada arahan (PAS) Pusat. Itu yang penting, ada pun apa tindakan, kita lihat perkembangan selanjutnya akan berlaku.

S: Dato’ Seri, ada yang mengatakan bahawa keputusan memutuskan hubungan dengan PKR merugikan PAS. Jadi, mungkin ada apa-apa komen?
J: Soalan itu andaian dan andaian kita tidak boleh jawab. Andaian ini benda (perkara) yang kemungkinan. Kemungkinan untung, saya boleh kata untung sebagaimana orang kata rugi. Andaian boleh berlaku apa sahaja dan kita (PAS)
mengharapkan lebih menguntungkan (PAS). Terutamanya, apabila wujud kita (PAS) menunjukkan sikap pembangkang yang menasihat. Pembangkang yang boleh bekerjasama. Ini boleh menimbulkan suatu keadaan yang stabil kepada negara, yang boleh menguntungkan bukan sahaja politik termasuklah aspek ekonomi dan lain-lain.

S: Jadi sebarang kemungkinan boleh berlaku di Selangor?
J: Biasalah kemungkinan berlaku…(ketawa)

S: Dato’ Seri, kemungkinan berlaku pilihan raya lebih awal di Selangor?
J: Itu terpulang kepada Selangor. Selangor ada Perlembagaan dia sendiri dan dirujuk kepada Perlembagaan Selangor dan terpulang kepada Tuanku Sultan. Tuanku Sultan ada kuasa dia, sama ada hendak terima perletakan jawatan itu atau tidak. Tuanku Sultan ada hak (kuasa) dia. Itu mengikut Perlembagaan Selangor mengikut apa yang saya faham.

S: Sekiranya Majlis Syura Ulamak (MSU) memutuskan hubungan dengan PKR. Jadi Exco PAS akan keluar dari kerajaan Selangor atau bagaimana?
J: Itu nanti berlaku dulu baru kita (PAS) boleh beri jawapannya.