I-Bantah sendiri sebelum ini tidak ketinggalan, telah menerima beberapa maklumat tentang sikap ‘bapak tiri’ pemaju terhadap pekerja tempatan.
Memang dari awal perlaksanaan projek lagi, saya telah mengutarakan kebimbangan dan keraguan dengan janji Blue Archipelago, syarikat pemaju projek udang i-SHARP apabila digembar gemburkan dengan janji sebanyak 1,500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Peluang pekerjaan sebanyak ini adalah mustahil untuk dijawat penduduk tempatan. Sekiranya peluang-peluang pekerjaan ini tidak dipenuhi, potensi untuk mendapatkan pekerja warganegara asing adalah tinggi.
Tambahan pula, mereka juga telah memaklumkan kepada i-Bantah dalam pertemuan sebelum ini bahawa mereka adalah orang berniaga. Kos buruh warga asing yang lebih murah pastinya menjanjikan lebih pulangan keuntungan. Soal tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat, kalau pun ada, ia hanyalah sekadar sampingan dan tempelan.
Kebimbangan ini kami suarakan lantaran dalam sesi-sesi tinjauan sebelum ini, jelas kelihatan siapa yang sedang bekerja. Kebanyakkannya Indonesia, Bangladesh dan Kemboja! Warga tempatannya hanya boleh dibilang jari. Kebanjiran warga asing ini bukan sahaja telah meragut hak yang dijanjikan kepada warga tempatan malah ia akan menyebabkan perubahan struktur sosial masyarakat dan adalah tidak mustahil akan berlakunya masalah sosial dan kejutan budaya di kawasan setempat.
Sudahlah tanah tempat mereka cari makan telah dicerobohi dengan restu kerajaan negeri, akhirnya rakyat tinggal melopong!
Pelaburan berskala besar seperti ini, dengan risiko besar yang terpaksa ditanggung penduduk setempat akan menjadi lebih tragis apabila rakyat setempat hanya mampu menjadi pemerhati. Menangisi kehilangan sumber mata pencarian, menanggung akibat dari pencemaran, kebimbangan setiap kali musim tengkujuh melanda, akhirnya harapan untuk menumpang ruang projek untuk mencari sesuap rezeki, hanya tinggal harapan.
Dr. Azman Ibrahim
Pengerusi I-Bantah
>Artikel terkait I-Bantah> I-Bantah bukan Halang!



























