Bina Jalinan Seiring

4685

DUNGUN- Satu pertemuan telah diadakan bertujuan untuk membina satu jalinan hubungan untuk pembangunan Dungun secara bersama seiring tema ‘Dungun Membangun’.

Yang Dipertua PAS Dungun, YB. Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata  pertemuan tersebut adalah diantara beliau selaku Ahli Parlimen Dungun bersama Exco kerajaan negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat, ADUN Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun bersama calon N25 Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman beserta AJK Parlimen dan AJK DUN-DUN dengan Pegawai Daerah Dungun berserta anggota pentadbiran.

Beliau yang telah berjaya  sekali dipilih sebagai Ahli Parlimen Dungun dalam Pilihan Raya Umum ke A4(PRU14) baru-baru ini, memberitahu demikian ketika diminta mengulas pertemuan yang diadakan di Pejabat Daerah Dungun pada Ahad, 20. Jun 2018 lepas.

“Disamping suaikenal, kita juga bertanyakan tentang pentadbiran dan bilangan balai raya yang ada di Dungun dan diberi maklum bahawa penghulu-penghulu mukim akan memberi maklumat mengikut DUN yang berkenaan”, ujar beliau yang ditemui di Majlis Usrah dan ifthar Jamaie AJK PAS Kawasan Dungun di Pondok Manazil Siddiqin, Batu 5 Dungun pada 23 Mei 2018.

Selain itu katanya lagi, mereka juga diberitahu bahawa peruntukan untuk wakil-wakil rakyat telah habis dibelanjakan oleh wakil-wakil rakyat terdahulu.

“Jadi kita terpaksa menunggu peruntukan baru daripada kerajaan Terengganu untuk ADUN, exco dan penyelaras bagi menjalankan pentadbiran menguruskan kepentingan rakyat pada bantuan am dan pembangunan dan jumlah itu akan ditentukan”, katanya.

Oleh itu, tambahnya, perbelanjaan akan  mengikut kepentingan dan keperluan peruntukan tersebut kerana ini adalah hak rakyat untuk pembangunan Dungun yang diharapkan maju, berkat sejahtera.