Bertindak Segera! Perketat Kawalan Sempadan Negara!

1026
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita16/kes%20dabah.jpg

Tan Sri Ismail Omar semalam mendakwa seramai 10 orang dengan memakai celoreng tentera menceroboh masuk dan telah berada di Kunak, yang sebelumnya terdapat penceroboh yang membolos dan masuk ke Semporna dan Lahad Datu.

“DPPM merasa hairan bagaimana perairan negara begitu mudah dibolosi oleh pengganas dari luar. Apakah perairan negara sememangnya terdedah kepada ancaman luar tanpa perlindungan?

“Jika demikian, apakah jaminan rakyat Malaysia akan berada dalam keadaan selamat dari ancaman pengganas dan berapa ramai pula akan menjadi korban keganasan ini?,”ujar Ketuanya, Ustaz Nasruddin Hassan.

Pemuda mempersoalkan lagi, mengapa kerajaan tidak mengambil langkah berjaga-jaga dengan mempertingkatkan kawalan keselamatan ditahap maksimum supaya tidak ada lagi insiden pengganas masuk ke negara ini dengan sewenang-wenangnya.

“Sepatutnya apabila ada kejadian seperti ini berlaku, kerajaan belajar dari kesilapan lalu dengan mengambil langkah yang wajar. Dakwaan bahawa ada pengganas yang berjaya mendarat di perairan negara adalah suatu kenyataan yang memalukan rakyat negara ini.

“DPPM bimbang sekiranya insiden ini mengundang kemarahan rakyat yang menuding pasukan keselamatan kerana bersikap sambil lewa. Keselamatan negara seharusnya menjadi keutamaan dan ia tidak boleh dikompromi dengan mudah,”ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hai ini Isnin 4 Mac.

Oleh itu, DPPM mendesak kerajaan supaya bertindak dengan segera dengan menangkap dan mengusir segera pengganas yang menceroboh masuk ke Sabah dan Jangan sampai kemuncak kemarahan rakyat akan mendesak Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan meletakkan jawatan atas kegagalan mereka menjaga keamanan negara

Takziah Kepada Keluarga Anggota Polis Yang Terkorban

Sehubungan itu, DPPM mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh di Lahad Datu serta Semporna, Sabah beberapa hari lepas.

“Pemuda khususnya merakamkan takziah kepada mereka yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu iaitu, almarhum Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin dari unit 69 Komando,

“Takziah dari DPPM juga kepada mereka yang telah terkorban dalam pertempuran di Semporna adalah Supritendan Ibrahim Lebar (Cawangan Khas E1, Bukit Aman), ASP Michael, (KCKD Semporna), Sarjan Aziz, (PGA Btn 14 Semporna), Koperal Azrul, (PGA Btn 14 Semporna), Sarjan Baharin, (Cawangan Khas E1, IPK Sabah), Koperal Salam, (Cawangan Khas, IPD Tawau).

Tambah Nasruddin, tidak ada yang lebih memilukan daripada melihat jenazah kesemua anggota polis terbabit gugur seorang demi seorang dalam menjalankan misi mereka dan pemuda menghargai  jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara

Oleh itu, DPPM mengharapkan semua anggota polis yang terlibat dalam misi tersebut tidak patah semangat sebaliknya terus cekal dalam meneruskan operasi mereka sehingga selesai dan mengharapkan pasukan keselamatan dapat meningkatkan kawalan keselamatan di perairan negara khususnya di negeri Sabah.

“Rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kesejahteraan wira-wira negara dan berdoa agar semua mereka yang sedang menjalankan misi di Lahad Datu, Semporna dan lain-lain kawasan di Sabah berada dalam keadaan selamat.

” DPPM mengharapkan semoga keluarga wira-wira negara terbabit tabah dalam menghadapi ujian yang getir seperti ini dan mendoakan semoga roh kesemua mereka ditempatkan sebagai hambar yang diredahi di sisi allah SWT. Alfatihah,”ujarnya lagi