Bertekad Bantu Laksanakan Syariat

2152

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (J3K) diajak bertekad membantu kerajaan PAS Terengganu dalam melaksanakan syariat Allah SWT dengan meletakkan kepentingan meninggikan agama Allah.

Timbalan Pengerusi Kebajikan, Wanita dan Perpaduan Kaum Negeri, Cikgu Alias Harun menyeru semua yang telah dilantik agar menjalankan amanah ini dengan berlandaskan al- Quran dan Hadis dalam membuat keputusan dan tindakan.

“Juga sama-sama kita berganding bahu bagi melestarikan pemerintahan yang bertemakan Terengganu Maju Berkat Sejahtera,” tegasnya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Majlis Penyampaian Surat Perlantikan kepada seluruh J3K bagi kawasan Dungun yang diadakan di Dewan Utama, Majlis Perbandaran Dungun pada Ahad lalu, 29 Julai.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun itu juga mengingatkan, supaya setiap aduan dan permintaan rakyat diselesaikan sebaik mungkin tanpa mengira fahaman politik.

“Mungkin permintaan tidak dapat dipenuhi dengan segera, mungkin memakan masa,”

“Dan setiap aduan atau permintaan perlu dibawa bermesyuarat didalam jawatankuasa mereka dan diputuskan bersama bukan keputusan seorang,” jelas ADUN Rantau Abang itu.