Bertanya, Sahihkan Atau Diam

339

Beberapa hari ini riuh berkenaan pembahagian bantuan kepada rakyat. Untuk isu ini, kita tumpukan perhatian bagi negeri Terengganu sahaja. Beberapa foto yang disiarkan oleh beberapa akaun palsu, musuh kepada PAS. Dedah mereka, ketidak adilan pembahagian itu jelas kerana ia diberikan juga kepada orang kaya, rumah besar, kereta banyak, ada yang miskin diketepikan.

Tidak cukup dengan itu juga, beberapa keratan pesanan bantuan PKP yang masih tidak diterima oleh orang yang sepatutnya diedarkan. Semua ini dimulakan oleh pembenci PAS, kemudian dengan konon rasa belas ehsan, kasihan, mereka yang menyokong PAS pula membantu edaran fitnah ini. Ada juga soalan yang dilihat prihatin, mengapa ini semua dilakukan oleh YB atau JPKK di kawasan terbabit. Filem ini hanyalah ulangan PKP tahun lalu.

Sebenarnya amat mudah untuk memahami semua ini. Anda semua tidak perlu menjadi ahli yang aktif, tetapi cukup dengan memahami bahawa pasukan yang bekerja bagi kesejahteraan rakyat waktu ini adalah sama dengan pasukan yang berkhidmat kepada rakyat ketika PAS kalah dahulu. Cuma bezanya ia lebih tersusun kerana duduk di bawah organisasi kerajaan. Masih ingatkah bagaimana mereka semua ini dahulu bertungkus lumus membantu rakyat yang dinyahkan nama mereka dari menerima bantuan?

Apa yang dituduh bahawa pembahagian bantuan ini mengikut bendera, hanyalah fitnah bagi mengembalikan apa yang pihak yang terdahulu lakukan kepada kita. Jika dahulu memang benar kita dianiaya, kita didiskriminasikan kerana menyokong parti Islam. Mereka dengan sombong menolak harapan orang kita yang miskin. Bagai hidup mereka bertongkat langit, tiada dapat terkalahkan. Akhirnya takdir Allah yang maha Esa, kita menang lagi. Tetapi fitnah yang berlaku ketika 1999-2004 kini kembali.

Naratif yang serupa, wira yang dahulu bekerja keras membantu rakyat yang tidak menerima bantuan, sebaliknya kini, dihina oleh orang sendiri. Amat naif bagi kita jika masih gagal belajar bagaimana fitnah tersebar ketika itu. Semuanya berkenaan fitnah penyelewengan. Namun setelah mereka kembali menang, tiada satupun kes yang dikatakan salah laku atau pecah amanah oleh PAS itu dibawa ke mahkamah. Adakah sebodoh itu kita masih lagi mengikut plot fitnah mereka sekarang?

Saya menghantar keratan gambar yang tular kepada wakil rakyat berkenaan bantuan yang masih tidak sampai. Langsung dibalas mesej saya dengan katanya “Sir, ana tahu kes ini, kita dah tolong banyak benda dah dia ni. Dia selalu ke pejabat MTD. Tapi mungkin dia yang tak bagitahu yang dia menetima bantuan JKM RM500 sebulan. Tubuh badan dia sihat” Apa maknanya? Maksudnya YB bukan buta sampai tak tahu apa yang berlaku di kawasan dia. JPKK lagilah, semua senarai rakyat duduk di mana, siapa dia, apa sejarah hidupnya, semua dalam maklumat mereka sebab semua mereka itu jiran JPKK.

Kadang-kadang ada manusia kerana terlalu mahu menunjuk yang diri sebagai orang yang selalu membantu, alim, tawadhuk, menyebabkan rasa sombong dan riak mula mekar dalam hati. Maaf, inilah yang berlaku. Kenapa saya berani menyebut begini? Kerana apabila mereka mahu membantu, mereka sepatahpun tidak berbincang dengan JPKK. Apa status, apa yang berlaku, apakah benar ceritanya? Tidak, mereka kira bahawa JPKK akan menyembunyikan fakta sebenar dan tipu helah JPKK akan terbongkar. Dan kerana itu juga orang yang nak menipu ini mengambil kesempatan ‘play victim’.

Pernah dilaporkan dalam akhbar seorang bapa membawa anaknya berulang alik mencari bantuan anaknya yang menghidap sakit jantung. Bila ditanya kepada JPKK kawasan terbabit, ayahnya seorang penagih yang menggunakan anaknya. Ada pula yang tinggal di rumah yang buruk dan hampir roboh, konon teraniaya tanpa dibantu. Akhirnya ada yang membantu tanpa berbincang, rupanya sama, penagih yang menggunakan kebijaksaan mereka menagih simpati.

Ada juga kes yang melalak di FB, menggunakan suaminya yang cacat meminta bantuan serta menuduh bantuan tidak diberikan. Akhirnya dapat tahu, isterinya ada mempunyai motor yang mahal, dan sering ke sana sini konvoi dengan rakan-rakan lelaki. Banyak lagi kes-kes sebegini berlaku di Terengganu. Jangan kita ingat orang-orang yang menipu ini tidak pandai guna FB, kerana pandailah mereka berjaya menipu.

Tidak dinafikan juga ada kelemahan pengurusan JPKK. Ya, mesti diakui yang manusia akan mempunyai kelemahan mereka. Tetapi dengan menyebarkannya di media sosial, apa yang kita dapat? Bukan sukar untuk memaklumkan atau berbincang dengan JPKK zaman ini kerana masing-masing mempunyai FB. Boleh terus ke pejabat mereka. Jika tidak mahu berjumpa, telefon pejabat i-MiTS, atau boleh menghantar pesanan di FB. Tetapi adakah itu dilakukan? Tidak. Ramai yang terus menimbulkan isu ini di media sosial.

Bila ditanya kenapa, mereka akan menjawab kerana sayangkan parti, maka ini adalah cara untuk menghalang apa yang dituduh sebagai penyelewengan. Bila diminta bukti, mereka kata kita kenalah siasat. Bila ada kes besar, diminta untuk laporkan, mereka kata tidak mahu memalukan jemaah. Tetapi mereka menyebarkannya di media sosial tanpa bukti dan saksi dikira sebagai kerja-kerja murni pula.

Adakah anda ada kriteria-kriteria seperti yang saya tulis ini? Berhentilah. Lihat lah wajah pasukan JPKK yang bertungkus lumus membantu rakyat. Mereka juga manusia. Mereka ada keluarga yang tahu malu dan aib jika difitnah. Sekurang-kurangnya kalau tidak mahu membantu sekalipun, fikirkanlah penat pelah mereka yang bekerja bagi menaikkan imej parti dikala pandemik yang tidak disangka-sangka ini. Mereka tidak takut dan sedih dengan fitnah musuh. Tetapi fitnah dari jemaah sendiri, ia amat menyedihkan.

Saya menghormati rakan saya, seorang pensyarah di sebuah IPTA yang secara diam menghantar pesanan kepada saya bertanyakan cara pembahagian bantuan dan memberikan sedikit cadangannya. Dia berpangkat Dr, sering terlibat dalam aktiviti membantu golongan miskin. Caranya beliau yang sopan itu jelas menunjukkan dia faham situasi orang yang bekerja mengagihkan bantuan ini. Ia adalah sukar. Terkadang kerana sikap si penerima itu sendiri. Ditambah ada yang suka mempercayai cerita mereka.

Kepada anda ahli dan penyokong PAS, bukalah mulut untuk bertanya demi kesahihan. Atau lebih baik diam. Itu yang lebih mulia daripada menyambung lidah fitnah musuh. Tetapi jika anda adalah musuh PAS, teruskan fitnah ini kerana fitnah anda, pembakar semangat juang kami. Di sana, ada janji pahala menanti atas kesabaran kami menghadapi fitnah.

Mohd Nasir Abdullah

16 Jun 2021