Berdakwah Menurut Suasana Setempat

554

Bagi meneguhkan keimanan mereka yang telah menganut Islam, maka Rasulullah SAW menghantar utusan daripada kalangan para sahabat RA yang berwibawa untuk mendidik dan melahirkan pendakwah, pemimpin dan mujahid. Mereka yang akan meneruskan penyebaran Islam ke seluruh pelosok dunia.

Antara mereka yang diutuskan ialah Mu’az bin Jabal dan Abu Musa al-‘Asy’ari RA. Rasulullah SAW mengutuskan Mu’az bin Jabal RA bersama Abu Musa al-‘Asy’ari RA yang berasal dari negeri Yaman.

Masing-masing ditugaskan di daerah yang berasingan. Mu’az bin Jabal RA ditugaskan di wilayah selatan, manakala Abu Musa al-‘Asy’ari RA di wilayah utara. Rasulullah SAW berpesan kepada mereka berdua dengan sabdanya:

‎يَسِّرَا وَلَا تُعَسِّرَا، وَبَشِّرَا وَلَا تُنَفِّرَا

“Kamu berdua permudahkan jangan memayahkan, gembirakan jangan meliarkan.” (Riwayat al-Bukhari 4342)

Pesanan yang sangat besar ertinya, supaya berusaha sedaya upaya menjinakkan hati manusia dengan Islam walaupun terpaksa mengorbanbankan diri.

Pesanan ini membawa maksud uslub dakwah mengajak manusia kepada Islam dengan perintah dan tugas yang ringan dan mudah dilakukan.

Oleh kerana masyarakat Yaman agak terbuka dan tidak agresif sepertimana masyarakat Arab yang lain, maka Rasulullah SAW mewasiatkan para utusannya supaya lebih berlembut ketika berhadapan dengan mereka.

Ternyata selepas itu, keseluruhan penduduk Yaman menerima Islam dengan mudah tanpa berlakunya peperangan.

** Sebahagian intipati Kuliah Dhuha Presiden PAS, Jumaat 17 Septernber 2012