KUALA TERENGGANU – Kejayaan luar biasa pelumba muda negara, Hakim Danish, merangkul gelaran juara Moto3 Grand Prix (GP) of Czechia, menjadi kebanggaan besar buat negara khususnya bagi seluruh warga dan menjadi inspirasi kepada anak muda Terengganu.
Bendahari PAS Terengganu, YB Dato’ Ustaz Haji Mohd Nor Hamzah berkata, pencapaian mutakhir itu adalah bukti nyata hasil disiplin tinggi, bakat, dan kerja keras anak muda berkenaan di pentas sukan permotoran antarabangsa.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Hakim Danish yang merupakan seorang anak jati Kampung Surau Panjang, Bukit Payong atas kejayaan membanggakan negara ini.
“Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan bakat beliau, malah turut mengharumkan nama Malaysia serta menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mengejar impian masing-masing,” kata dalam satu kenyataan.
Yang Diterua Dewan Undangan Negeri itu berharap agar kemenangan bersejarah di litar antarabangsa itu tidak terhenti di sini, sebaliknya menjadi batu loncatan untuk pelumba tersebut terus menguasai podium pada masa hadapan.
Beliau turut menambah, “Semoga kejayaan yang ditempa ini menjadi pemangkin untuk terus melakar lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh megah di persada dunia.”
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan tertinggi kepada seluruh sistem sokongan yang menjadi tulang belakang kepada pemandu muda tersebut sehinggakan mampu berdiri di tahap sekarang.
“Tahniah dan syabas buat Hakim Danish, keluarga, jurulatih serta seluruh pasukan yang sentiasa memberikan sokongan dan pengorbanan sepanjang perjalanan kejayaan ini. Teruskan melakar sejarah, teruskan mengharumkan nama Malaysia,” ulas beliau menutup bicara.





























