KUALA TERENGGANU – Hasrat Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said ‘menagih’ janji samada pasukan bola sepak Negeri Terengganu atau T-Team menjulang sebarang gelaran pada musim ini mungkin tidak kesampaian.
Belum pun menempa ‘jalan ke puncak’ kejayaan, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sudah pun mengeruhkan suasana dengan mendakwa akan merombak barisan pemain dalam pasukan negeri Terengganu dan T-Team.
Katanya pertukaran pemain yang bakal dilakukan itu bukan sahaja melibatkan pemain import malah berkemungkinan besar turut membabitkan pemain tempatan.
“Keputusan itu akan dibuat sekiranya pemain kedua-dua pasukan itu masih tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing selepas saingan Liga Super kembali bersambung 8 Mac nanti.
“Langkah yang kita lakukan ini untuk memantapkan kedua-dua pasukan itu dan kini kita sedang mengintai beberapa pemain import di beberapa negara,” katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Ahmad Faizol Yusof, 35, berkata, Nizam tidak perlu buat rombakan kerana musim perlawanan baru sahaja bermula.
“saya berpendapat, masih terlalu awal untuk ‘pesta’ tuka menukar pemain kerana masih terlalu awal untuk menilai prestasi pemain, belum ada serasi dalam pasukan, biar dulu sehingga separuh musim mungkin,
“barulah boleh dinilai samada perlu membuat rombakan atau tidak,”ujarnya.
Seorang lagi peminat, Wan Ahmad Ridwan Wan Hussin berkata, tahap sukan bola sepak negeri-negeri di Malaysia tidak mencapai seperti liga bola sepak Inggeris dan lain-lain yang sudah maju.
Setiap pertukaran pemain perlu dibuat pertimbangan sebaik-baiknya bagi mengelak keadaan yang lebih buruk.
“kita tidak boleh samakan pemain-pemain kita dengan pemain di negara-negara yang telah maju bola sepaknya, setiap pertukaran pemain perlu difikir semasak-masaknya, Kelab T-Team hanyalah sebuah kelab daerah,
“para pentadbir perlu kurangkan publisiti dan kurangkan membuat kenyataan kerana ia akan memberi tekanan kepada para pemain,”ujar Ridwan yang juga bekas pemain bola sepak negeri Terengganu.
Menurutnya, kejadian ‘kontoversi’ yang berlaku pada perlwanan di Stadium Larkin, antara Johor Darul takzim dan T-Team masih belum hilang ‘panasnya’.
Oleh itu, beliau berpandangan, adalah lebih baik pihak pengurusan PBSNT memberikan lebih tumpuan menyelesaikan perkara tersebut yang masih lagi belum memberikan jawapan ‘selesa’ kepada peminat bola sepak Terengganu.