Oleh Dr Suhazeli Abdullah
Tugas seseorang yang bernama petugas perubatan sungguh mulia. Membantu menyelamatkan nyawa manusia dan menghilangkan kesakitan kepada pesakit (Dengan tidak dinafikan bahawa segalanya adalah ketentuan dari Allah jua).
Sesiapa yang menceburi bidang ini, samada doktor, jururawat atau seumpamanya, adalah khusus bagi menolong kehidupan manusia sejagat. Inilah kemahiran yang sukar diperoleh. Malah untuk menjadi seorang doktor, sela masa yang lebih lama di universiti berbanding dengan profession lain. Oleh kerana keistimewaan inilah tugasan yang diberikan amat besar.
Pendek kata bukan calang-calang orang sahaja yang mengambil bidang yang penting ini. Ilmu Allah ini juga tidak tertakluk kepada lelaki mahupun wanita. Ianya bergantung kepada kecenderungan masing-masing dan minat yang mendalam dalam sesuatu disiplin ilmu spesifik itu.
Tidak sihat seseorang itu boleh membawa kepada hidup tidak berkualiti. Kerja terganggu. Ibadah pun terbatas. Malah penyakit yang dialami boleh membawa maut jika tidak diurus dengan baik oleh perawat yang berkemahiran di dalam sesuatu bidang penyakit tersebut.
Namun disana timbul satu isu apabila kita sebagai seorang muslim, perlu menjaga batas syariat yang ditetapkan dalam agama seperti menjaga aurat sepanjang waktu. Aurat lelaki antara pusat dan lutut bagi masyarakat umum. Manakala aurat wanita adalah muka dan tapak tangan boleh didedahkan. Batasan aurat ini juga boleh terangkat hukumnya jika berlaku darurat.
Apa yang dimaksudkan darurat di sini sebagai contohnya jika wanita yang sudah sampai waktu bersalin, wajib hadir disisinya seorang pembantu yang mahir dalam selok belok kelahiran dan membantu proses berkaitan dengan kelahiran agar terjamin nyawa ibu dan anak. Penjagaan batas aurat ini tidaklah termasuk dalam 5 perkara penting maksud perlaksanaan syariat (Maqasid Syar’iyyah); Agama, akal, nyawa, maruah dan harta.
Penggunaan hukum darurat bagi menjaga aurat semasa merawat ini tidak terpakai secara langsung. Cuma hukum darurat ini digunapakai secara tidak langsung apabila ketidakhadiran orang yang mahir (samada lelaki atau wanita) boleh mengakibatkan nyawa siibu atau sianak yang akan dilahirkan terancam.
Batasan hukum penjagaan aurat dalam bidang perubatan ini boleh diletakkan sebagai rukhsah. Di mana rukhsah ini bermaksud keringanan yang dibenarkan syariat atas keadaan-keadaan tertentu. Keringanan, disebut juga sebagai takhfif selain rukhsah, ia adalah bentuk kemudahan yang diberikan oleh Islam bagi setiap hambaNya yang berada pada keadaan tertentu.
Pertama, Menggugurkan (Takhfif isqath), seperti pengguguran kewajiban solat jum’at kepada orang yang sakit kronik.
Kedua, Mengurangkan (Takhfif tanqish), seperti qasar shalat empat rakaat menjadi dua ketika dalam keadaan musafir, dibolehkan solat sesuai dengan kemampuan bagi seseorang yang dalam keadaan sakit dan yang lainnya.
Ketiga, Menggantikan (Takhfif ibdal). Misalnya mengganti wudhu air dengan tayamum menggunakan debu diakibatkan tidak adanya air yang digunakan untuk berwudhu.
Keempat, Mendahulukan (Takhfif taqdim), seperti rukhsah jamak taqdim.
Kelima, Mengakhirkan (Takhfif takhir). Ini termasuklah rukhsah jamak takhir, melewatkan solat ‘isyak dan lain-lain. Keenam, Meringankan (Takhfif tarkhish), seperti dibolehkan minum arak jika tercekik sesuatu apabila tiada minuman lain di sekelilingnya. Ketujuh, Mengubah (Takhfif taghyir). Misalnya perubahan bentuk perbuatan solat menjadi lebih ringan ketika terjadi peperangan.[Lihat Imam Musbikin, Qawa’id al-Fiqhiyah, Jakarta: PT. RajaGrafindo Persada, 2001]
Dalam konteks yang dibincangkan ini, kehadiran perawat untuk merawat pesakit diringankan hukum melihat auratnya kerana kemahiran yang ada bagi perawat dan kemashlahatan yang timbul atas pesakit. Jika digabungkan jenis rukhsah Takhfif Tarkhish akan digunapakai. Dengan sendiri isu perawat lelaki tidak timbul. Kehadiran perawat yang berkemahiran amat dituntut demi menjaga kemashlahatan nyawa pesakit.
Namun dari satu sudut yang lain sifat dan naluri seorang manusia tidak boleh lari dari malu mendedahkan anggota sulit mereka kepada sesiapa sahaja. Disinilah perlunya satu etika khusus dalam berubat dan merawat. Iaitu tidak sewenangnya mengambil ruang rukhsah tersebut dalam mangambil kesempatan melihat aurat diluar dari batas yang sepatutnya.
***Dr Haji Suhazeli Abdullah seorang pengamal perubatan dan Pakar Perubatan Keluarga