Banjir yang luar biasa yang berlaku dalam minggu ini adalah sebahagiannya disumbangkan oleh perbuatan manusia dimana berlaku peningkatan air secara mendadak membanjiri sepanjang tebing sungai Terengganu khususnya kawasan-kawasan yang rendah.
Pertubuhan bukan kerajaan , Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) mendakwa, selain faktor pasang surut air, projek penebusgunaan tanah (land reclaimation) secara berleluasa di basin muara sungai Terengganu dapat dilihat secara jelas menyebabkan sungai menjadi sempit.


“Kerana itu air melimpah, paras air meningkat dengan cepat dan lambat turun (surut),”menurut Presiden Ganti, Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim.
Beliau berkata, penebusgunaan sungai berdekatan Jambatan Sutan Mahmud, di belakang Kampung Cina dan di Kampung Batin menyempitkan ‘basin’ di muara sungai Terengganu.
Ia ditambah, dakwa beliau, aktiviti penebusgunaan sungai terbaru secara besar-besaran yang sedang berlaku sekarang sehingga beratus meter masuk, ke dalam ‘basin’ dari Dataran Syahbandar hingga ke belakang Pasar Besar Kedai Payang.
“Tinjauan pada pagi 6 Disember, nampak jelas paras air tinggi, di jambatan Buluh Gading dan keadaan yang sama di Jambatan Sultan Mahmud, Pulau Rusa.
“Projek penambakan ‘land reclaimation’ belakang Pasar Payang dan Dataran Shahbandar akan menyempitkan basin muara Sungai Terengganu sehingga 1/3 dari saiz asal.
“Ini setelah beberapa siri reclaimation yang nyata secara fizikal menyekat aliran sungai yang akan mempercepatkan pencetekan sungai,”jelasnya.
Katanya, projek menebusguna sungai menjadi daratan yang dilaksanakan bertentangan dengan matlamat asal melibatkan kos lebih RM470juta, sekitar tahun 2004, untuk mendalamkan laluan muara Kuala Terengganu.


“Apatah lagi, kata Amzad, projek-projek menebusguna dengan menambun tanah yang dilaksanakan sekarang sangat diragui, sama ada ia melalui prosedur yang biasa atau sebaliknya.
“tidak dapat dibuktikan Kajian EIA telah dibuat oleh pihak berkuasa berkenaan dan Jabatan Parit Saliran dilihat ‘sangat membisu’ terhadap projek sebesar ini impaknya,”tegasnya.
Justeru, kata beliau, GANTI menuntut supaya Jabatan Parit Saliran mengesahkan samada projek tersebut telah melalui prosedur yang betul dan memberi jaminan ia tidak mengganggu aliran sungai sehingga meningkatkan risiko banjir.
Beliau bercadang akan mengemukakan aduan kepada SPRM sekiranya pihak-pihak berkenaan gagal memberi penjelasan kepada rakyat dan gagal menjamin, projek tgersebut tidak memberi impak kepada bencana yang merosakkan alam sekitar dan membahayakan nyawa serta hartabenda awam.





























