KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu membentangkan bajet 2019 dengan peruntukan berjumlah RM2.015 bilion, jumlah lebih besar berbanding RM1.996 bilion bajet kerajaan BN tahun lepas.
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peningkatan itu adalah bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu.
Menurutnya, kerajaan negeri menjangka memperoleh hasil berjunlah RM2.015 bilion bagi tahun 2019 menjadikan bajet 2019 sebagai bajet berimbang.
“Daripada jumlah itu sebanyak RM66.93 juta adalah hasil cukai, RM203.53 juta adalah hasil bukan cukai dan RM1.745 bilion merupakan terimaan bukan hasil,” katanya ketika membentangkan Bajet 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Sidang DUN) pada Ahad, 25 November.
Beliau berkata, tema bajet tahun depan itu ialah Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera, dengan cadangan peruntukan sebanyak RM2.015 bilion untuk perbelanjaan mengurus.
Dr Ahmad Samsuri berkata, pelaksanaan Bajet 2019 di bawah empat teras utama iaitu keberkatan, kemajuan, kebajikan dan kecekapan.
Katanya, ia akan diperkukuhkan dengan lapan strategi mengukuhkan prinsip Islam, mewujudkan polisi patuh syariah, membangunkan kualiti modal insan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Strategi seterusnya adalah mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat, merealisasikan Terengganu sebagai negeri berkebajikan, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan menerapkan nilai integriti dan ketelusan,” katanya.
Sehubungan itu, selaras dengan janji Manifesto pilihan raya umum lalu, beliau mengumumkan pengecualian cukai taksiran dan menghapus kira cukai tertunggak untuk semua premis kediaman.
Beliau berkata, khabar gembira itu, berkuatkuasa 1 Januari nanti, bagi mengurangkan beban rakyat, membabitkan jumlah sebanyak RM14.7 juta.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada janji manifesto yang dibuat pada pilihan raya umum lalu,” katanya
Insentif RM 500 Untuk Kakitangan Kerajaan
Dalam pembentangan sama, kerajaan negeri turut bersetuju memberi insentif kepada penjawat awam negeri berjumlah RM500 seorang.
Bayaran akan dibuat pada bulan depan membabitkan 12,611 kakitangan awam Terengganu melibatkan peruntukan sebanyak RM6.3 juta.
“Ini sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan penjawat awam dan kerajaan merakamkan penghargaan kepada kakitangan awam yang berdedikasi dan komited sehingga meletakkan Terengganu antara negeri terbaik di Malaysia,” katanya.






























