Bajet Besar 2018 Tidak Selesaikan Masalah Rakyat

1886

KUALA TERENGGANU – Bajet besar 2018 berjumlah RM 1.99 bilion tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Negeri Terengganu.

Timbalan Pesuruhjaya ii Negeri Terengganu , YB Dr Haji Alias Razak berkata, bajet pada kali ini hampir sama dengan bajet tahun lalu tidak dapat membantu secara ‘holistik’ masalah kemiskinan rakyat dan kenaikan harga barang.

“Dalam pengurusan dan pentadbiran serta pelaksanaan kerajaan negeri Terengganu menggunakan cara yang sama seperti sebelum ini,

“Jikalau peruntukan diberi besar dengan pengurusan menggunakan cara yang sama dan orang yang sama menguruskannya, ia tetap tidak mengambil kesan ekonomi kepada rakyat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Bajet 2018 Persidangan Dewan undangan Negeri di Wisma Darul Iman, pada Isnin, 11 November.

Menurutnya, rakyat janganlah mengharap satu perubahan walaupun bajet yang besar dengan ‘retorik’ yang begitu hebat, dapat dirasakan, namun hasilnya tidak kemana juga.

“Kalau kita dengar dari segi bajet dari halwa telinga sedaplah dengar tapi pelaksanaannya saya rasa tidak berubah seperti sebelum ini,

“Inilah ‘team’ yang mengurus negeri Terengganu. Masih banyak kebocoran di dalam negeri dan tidak ada keutamaan serta yang perlu diutamakan tidak diutamakan,

“Yang tidak utama di beri keutamakan akhirnya objektif pada bajet itu sendiri tidak tercapai,”ujarnya dalam kebimbangan.

Beliau menambah, apabila disebut soal kos sara hidup dan harga barang semua golongan akan kena, tidak kira Umno, PAS atau tidak berparti.

“Persoalan kita ialah bagaimana kerajaan merangka perancangan untuk mengurangkan harga barang. Dengan keadaan sekarang bajet yang diberikan, saya tidak nampak sesuatu program ke arah untuk mengurangkan kos sara hidup,

“Cuma yang dibuat hanya untuk meningkatkan sedikit ataupun pemberian insentif untuk penyelesaian jangka masa pendek,

“Kerajaan beri RM 1500 dia tambah beberapa duit belanja, tapi nampak seronok dia beri……. jadi tak menyelesaikan juga untuk jangka panjang,”kata beliau.

Kata beliau lagi, kerajaan perlu fikir bagaimana supaya ada satu sistem kawalan harga di peringkat nasional, peringkat kementerian ataupun peringkat negeri dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas.

Katanya, ia boleh memastikan harga barang dan barangan yang masuk dalam negeri Terengganu dengan harga yang terkawal.

“Dengan peruntukan duit ‘one off’ saya belum kira lagi berapa jumlahnya. Mungkin setengah billion yang nak diberi itu,

“Percuma…..percuma…..percuma….tetapi sekiranya bahagian itu digunakan untuk mengawal harga barang adalah satu sistem kawalan yang baik dan satu badan kerajaan boleh ditubuhkan,” tambah ADUN Bukit Tunggal itu.

Selain itu, beliau berkata, segi tempahan barang boleh dibuat secara pukal dan kita boleh mengagihkan kepada para peniaga dengan harga yang rendah.

Katanya, tempahan boleh dibuat terus dari tempat pengeluarannya yang merupakan salah satu cara yang boleh mengurangkan harga barang.

“Begitu juga satu bantuan yang tinggi kepada para petani kita, satu insentif yang besar contohnya negara Jepun,

“Bantuan daripada kerajaan sehingga subsidi 90% hingga 100% memastikan keluaran barang harga rendah,”kata beliau.

Sebaliknya, kata beliau, bajet yang dibentang adalah semua hanya cubaan BN untuk menang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.