Oleh : Aziz Hambali
MARANG – Jabatan Amal Malaysia Kawasan Marang (JAMKM) dengan kekuatan seramai 40 orang anggota siap sedia dan sentiasa ‘on-call’ untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat dalam menghadapi musim banjir kali ini.
Ketua Amal Marang, Tuan Azmi Aminuddin Ahmad berkata, persiapan sudah dibuat untuk menghadapi banjir.
“Alhamdulillah, persiapan kami sudah mencapai sekitar 90% sebelum menghadapi musim banjir kali ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas Program Simulasi Banjir Daerah Marang anjuran JKM di ILP Marang (17 Oktober), mengulas tentang persediaan Jabatan Amal Marang dalam menghadapi kemungkinan banjir pada tahun ini.


“Di pihak kami sendiri, terdapat beberapa bentuk bantuan atau khidmat yang bakal disalurkan untuk mangsa banjir.
“Pada peringkat awal terjadinya banjir, kita terlibat dengan operasi menyelamat.
“Seterusnya, bila mana keadaan banjir mulai reda, insya-Allah kami akan terlibat pula dengan operasi gotong-royong dan membersih mana-mana kawasan yang terlibat.
“Kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam misi bantuan musim banjir dan mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat.
“Setiap kali berlakunya banjir, kebiasaannya memang ada panggilan, dan kami bertindak berdasarkan laporan orang ramai.
“Justeru, untuk sebarang aduan boleh hubungi saya secara langsung di talian 0139219274 atau berhubung terus dengan Setiausaha Amal Marang, Mohd Izuha bin Kamal,” tambahnya.



























