Akidah Perjuangan: Resepi Kekuatan PAS Membadai Arus Zaman

161

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Tujuh puluh empat tahun bukanlah satu masa yang singkat untuk dirangkum semua jasa bakti harakatul ummah ini bergulat dengan lapangan dakwah, tarbiah serta siasah . Lebih tujuh dekad dihempas badai dan diamuk penguasa termasuk yang terbaru regim madani bukanlah tempoh masa yang singkat bagi sesebuah organisasi massa bernuansakan Islam. Lihat sahaja kejerihan dan kesakitan yang dialami oleh tanzim Islami dipelbagai belahan dunia Islam, Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, MASYHUMI, An Nahdah, REFAH dan lain-lain.

Di negara ini PAS mempunyai umur paling panjang sebagai wadah politik, juga sebagai pertubuhan dakwah. Penubuhannya juga pada tahun 1951 mempunyai kaitan dengan isu perjudian iaitu loteri kebajikan masyarakat yang tidak ditentang oleh UMNO sehingga ulama merasakan perlunya sebuah platform tersendiri ummat bagi mencegah kemungkaran. Gabungan aktivis alumni Hizbul Muslimin yang diharamkan penjajah akhirnya menegakkan wadah mulia ini, Persatuan Islam Se Tanah Melayu.

Malaya dalam dekad 1950an, seperti kebanyakan negara umat Islam yang lain masih dibelenggu dengan “the blue eyes mentality”, obses dengan apa sahaja yang datang daripada Barat. Cara hidup kelompok professional, kelas menengah Melayu juga sangat kuat dipengaruhi dunia Barat. Tak pelik apabila pemimpin kelas atasan Melayu kebanyakannya adalah lulusan daripada England, termasuk pegawai-pegawai tentera daripada Sandhurst Military College. Fahaman sosialis agak dominan dalam ekad 50an di negara Umat Islam terutama di Asia Barat,bahkan berseteru hebat dengan gerakan Islam.

Mahasiswa dan mahasiswi terpegun dengan ideologi sosialis, sehingga kampus subur membiak fahaman ini dengan cara hidup bohemian. Dekad 1960an gerakan pelajar aktif dengan demonstrasi serta bantahan awam, fenomena ini mendunia dengan berlakunya penaklukan Amerika keatas Vietnam. Pelbagai acara sosial dekad tersebut disertakan dengan acara minum arak, majlis berdansa, percampuran bebas lelaki dan perempuan. Keadaan hidup masyarakat bandar jauh daripada agama secara umumnya. Masjid bandar tidak popular dengan majlis pengajian sebagaimana selepas dekad kebangkitan semula Islam.

PAS hadir digelanggang masyarakat yang masih kuat dengan fahaman sekular, kesan daripada pendidikan Barat yang diarusperdanakan oleh penjajah British. PAS mengajar kepada masyarakat betapa soal politik sangat mendasar dan dominan sesuai dengan matlamat Allah menciptakan manusia sebagai khalifah. Pimpinan PAS dalam dekad 1950an ,giat menulis dan berceramah kesegenap pelusok tanahair. Masyarakat difahamkan betapa Islam ialah Agama yang memimpin manusia sebagaimana gambaran sirah ar Rasul SAW, khulafa ar Rasyidin sehinggalah Khilafah Uthmaniah yang tumbang pada tahun 1924.

PAS meluruskan kerancuan berfikir ummat, menanam kefahaman tentang tentang kesyumulan Islam. Islam bukan semata mata solat,puasa serta nikah kahwin. Tasawwur Islam dibentangkan dalam kuliah- kuliah atau apa sahaja program ilmu bersama masyarakat.Dekad 60an, perkara tahyul serta khurafat masih menyelimuti masyarakat orang Melayu negara ini. Pesta puja pantai dengan tarikan pesona kepada acara hiburan seperti Mak Yong, berdikir, rodat, bagih, main puteri (main tteri), berlaga ayam lembu kambing dengan konsep perjudian. Acara mandi Safar juga dirayakan oleh masyarakat dekad 60an sehingga terhenti di zaman kebangkitan semula Islam. Perjudian sangat bersemarak sehingga tugas pihak polis zaman dahulu membanteras acara judi berlaga ayam di kampong- kampong!.

Berlakunya tragedi 13 Mei 1969 telah menjadi titik mula kepada kebangkitan semula Islam. Kebangkitan semula Islam telah menyebabkan parti politik berorientasikan Islam mendapat laba politik. Istilah generasi haraki muncul, kelompok generasi muda yang ditajnid melalui program perkaderan dakwah seperti usrah, tamrin, mukhaiyyam, daurah, liqa , jaulah , ijtimak dan sebagainya.

PAS tersingkir daripada Kerajaan Pusat pada tahun 1977, seterusnya kehilangan Kelantan pada tahun 1979 sebagai sebuah negeri pengkalan kuasanya sejak 1959. Tanpa PAS dalam kerajaan Pusat dan negeri maka tiada entiti semak dan imbang dalam kerajaan. PAS sebagai gerakan Islam memainkan peranan yang significant dalam melawan arus jahiliah moden yang membadai. Kedatangan abad 15 hijriah juga menyuntik satu semangat untuk memperkasakan kehidupan beragama, isu makanan halal haram, pelaksanaan Undang-undang Syariah, suara agar kembali kepada kehidupan bersyariah. Gelombang pembinaan generasi haraki semakin membuncah pasca kepimpinan ulama PAS. Paralel dengan kebangkitan semula Islam yang fenomenal diseluruh dunia minat anak anak muda kepada PAS juga meningkat.

Sejarah tidak mampu menutup jasa kebaktian PAS dalam memberikan kefahaman politik Islam berteraskan akidah. Tiada lagi suara- suara sumbang ” politik suku agama suku”, ” politik tak kena mengena dengan akidah” atau pun membahagikan ulama hakiki dan ulama haraki. Semuanya kerana keseriusan PAS membadai belantara politik sekular dalam tempoh lebih tujuh dekad perjuangannya.

PAS semakin bergaya dalam memasak kefahaman aqidah perjuangan apabila dianugerahkan dengan kemenangan di Kelantan pada tahun 1990. Menyahut arahan dan panduan Allah daripada Ayat 41 Surah Al Hajj, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar telah berjaya merakyatkan kefahaman Islam, bahkan menutup lubang kemaksiatan di tanah serendah sekebun bunga. Pasca PRU 15 ,kemenangan bergaya PAS diempat buah negeri Semenanjung akan meluaskan lagi jaringan wewenang kuasa bagi menanam kefahaman kesyumulan Islam kepada rakyat dan juga kepada penyokong gerakan itu. Selagi mana PAS berpegang teguh dengan akidah perjuangan Islam maka ia akan kekal relevan kepada ummat.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)