Dekati Bukan Islam, Kekal Relevan Di Hati Pengundi Muda

293

KUALA NERUS – PAS perlu mendekati pengundi bukan Islam dan kekal relevan di hati pengundi muda bagi memastikan parti itu terus diterima oleh masyarakat pelbagai lapisan serta mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi Mohamad, berkata saranan yang dibawa oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’raja Dato’ Dr Mohd Amar Abdullah perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan di semua peringkat.

“Kita perlu memperbanyakkan program untuk mendekati pengundi bukan Islam, kerana hakikat hari ini mereka masih kurang senang dengan PAS.

“Dalam masa sama, pengundi muda juga perlu didekati dengan pendekatan yang sesuai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Munaqasah Ucapan Dasar Presiden PAS, di Dewan Tarbiyah At -Taqwa, (KOMTAQ), di sini, pada sabtu lalu.

Beliau menegaskan, pengundi muda kini melihat PAS sebagai wadah baharu selepas hilang keyakinan terhadap Umno.

Justeru itu, PAS mesti membuktikan keupayaan untuk membela rakyat melalui dasar dan tindakan yang jelas.

“PAS perlu berusaha memenuhi aspirasi pengundi muda, kerana mereka berubah menyokong PAS akibat kerosakan dalam UMNO. Mereka harapkan PAS menjadi pembela rakyat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa semua ahli PAS memainkan peranan aktif memperkenalkan parti kepada masyarakat menerusi akhlak dan tingkah laku yang baik.

“Produk paling baik, iaitu Islam, ada bersama kita.

“Maka kita perlu tonjolkan keindahan Islam melalui akhlak dan cara hidup kita,” tegasnya.

Ustaz Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa Lajnah Penerangan PAS Kawasan Setiu akan mengaktifkan semua saluran media sosial bagi menyampaikan maklumat tepat dan menjawab setiap naratif yang dibina oleh pihak lawan.

Beliau juga menyarankan agar hubungan baik dijalin dengan golongan berpendidikan tinggi dan tidak berparti kerana kumpulan ini banyak menyumbang kepada kemenangan PAS pada pilihan raya lalu.