KUALA NERUS – Ahmad Amir Muzakkir Sazali, 11, dari Madrasah Darul Taqwa Batu Enam, di sini, mencatat sejarah apabila diumum sebagai murid terbaik Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) dengan memperoleh keputusan 13A.
Lebih membanggakan lagi, tahun ini juga merupakan kali pertama 13 mata pelajaran diperkenalkan berbanding 12 mata pelajaran sebelum ini, sekaligus menjadikan anak bongsu kepada pasangan Sazali Mohd Noor dan Zaleha Salleh itu turut muncul sebagai pelopor kepada kejayaan berkenaan.
Ahmad Amir Muzakkir yang juga merupakan murid tahfiz memperoleh keputusan 12A dan 1C dalam peperiksaan percubaan sebelum ini mengakui dia belajar seperti orang lain, namun apa yang paling utama adalah fokus ketika berada di dalam kelas.
Menurut ibunya, Ustazah Zaleha, 53, sama seperti ibu bapa yang lain, dia dan suami sentiasa memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga dalam ilmu agama.
“Alhamdulillah, sebagai ibu pastinya saya berbangga dengan pencapaian cemerlang Ahmad Amir Muzakkir ini dan saya juga ingin mengambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua guru yang banyak membantu.
“Walaupun dia (Ahmad Amir Muzakkir) merupakan anak bongsu dalam keluarga, namun dia seorang yang sangat berdikari dan memilih untuk tinggal di asrama memandangkan dia merupakan murid tahfiz.
“Saya juga berharap agar kejayaan dia tidak terhenti di sini sahaja, tetapi turut mengikut jejak cemerlang adik beradik yang lain,
“yang mana kakak sulungnya dan abangnya yang telah menamatkan pengajian Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM), seorang lagi masih di UM dan manakala yang lain sedang belajar di sekolah menengah,”katanya.
Katanya lagi, amalan membaca al-Quran setiap hari selepas Maghrib yang diterapkan dalam diri anak-anak termasuk Ahmad Amir Muzakkir secara tidak langsung dapat membentuk disiplin diri yang tinggi.
“Saya dan suami tidak mengongkong anak-anak, sebaliknya kami biarkan mereka membesar seperti anak- anak yang lain, waktu bermain kita benarkan mereka bermain, tetapi apabila masuk waktu belajar, kami pastikan mereka belajar bersungguh-sungguh.
“Pendedahan ilmu akademik dan agama yang seimbang juga perlu bagi memastikan mereka mampu menangkis cabaran dalam dunia yang penuh mencabar ini,”katanya yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Guntong.
Zaleha juga turut berkongsi resipi kejayaan kepada bakal- bakal ibu dengan memastikan seawal usia kehamilan lagi dia mengamalkan pemakanan yang sihat serta mengikut sunnah, selain sentiasa membaca al-Quran.
Sementara itu, Mudir Madrasah Darul Taqwa Batu Enam, Ustaz Hazha Rajab berkata, secara keseluruhan seramai 89 calon menduduki peperiksaan UPSRI itu tahun ini.
Madrasah itu juga turut dinobat sebagai madrasah terbaik untuk tahun kedua berturut-turut dengan pencapaian gred puraya 2.36.
“Alhamdulillah, syukur dengan kejayaan yabg direkodkan madrasah ini dan diharap ia akan terus menjadi pembakar semangat kepada guru-guru dan murid-murid lain untuk berjaya.
“Kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa ada kerjasama dan penglibatan semua pihak dan saya ingin ambil peluang ini untuk ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua,”katanya.
Jelasnya lagi, meskipun terdapat satu tambahan mata pelajaran pada tahun ini, namun rata-rata calon menunjukkan prestasi membanggakan.
Kesemua matapelajar itu terdiri daripada Al-Quran Tajwid, Tafsir Hadis, Bahasa Arab, Tauhid, Fekah, Sirah, Akhlak, Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2, Matematik, Sains, Bahasa Inggeris 1 dan Bahasa Inggeris 2 merupakan mata pelajaran tambahan yang baharu.