Minimumkan Pembelian Hartanah Oleh Warga Asing Di Malaysia

1301

Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu segera mengehadkan pembelian hartanah oleh warga asing di negara kita dengan menyemak semula kuota pemilikan rumah atau hartanah oleh warga asing dengan mempunyai garis panduan yang ketat dan terperinci serta perlu diikuti.

2. Berdasarkan soalan saya semalam di Parlimen tentang kaedah yang sesuai untuk mengekang pembelian hartanah oleh warganegara asing selain daripada penetapan nilai ambang yang pernah dikuatkuasakan sejak tahun 2009, pihak menteri perlu segera menjalankan mekanisme yang lebih terperinci untuk diguna pakai oleh pihak berkuasa negeri bagi meminimumkan pembelian hartanah oleh warga asing.

3. Menerusi data daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) jumlah unit rumah yang dimiliki oleh warga asing melalui Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi tempoh 2007 hingga 2018 adalah sebanyak 4,499 unit rumah. Warganegara China merupakan pembeli hartanah terbanyak iaitu dengan jumlah 1,664 unit.Kita tidak mahu jika bilangan ini bertambah saban tahun akan memberikan banyak kesan dalam jangka panjang khususnya kepada rakyat tempatan.

4. Selain itu berkaitan soalan tambahan saya tentang rasional Kerajaan memperkenalkan program *Malaysia My Second Home* (MM2H) kepada warga asing yang dilihat program ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk membeli hartanah dengan harga yang lebih rendah daripada sebelum ini.

5. Kenapa Kerajaan tidak meneruskan sahaja polisi-polisi serta undang-undang yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini untuk membeli hartanah di negara kita? Malahan Kerajaan boleh mengkaji semula polisi dan undang sebelum ini mengikut kesesuaian dan garis panduan yang ditetapkan.

YB Tuan Che Alias Bin Hamid
Parlimen Kemaman (P040)
13 November 2018