Oleh: Pok Abbas
KUALA TERENGGANU- Kedatangan Nabi Muhammad SAW yang membawa ‘Rahmatan lil’alamin’ kepada seluruh alam merangkumi semua perkara maka sewajarnya baginda menjadi teladan di dalam menjalani kehidupan seharian.
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Ladang, Ustaz Mohd Kamal Ali berkata di dalam membicarakan tentang kesihatan juga seharusnya baginda dicontohi.


“Ajaran Nabi Muhammad ini kebaikannya dapat dirasai bukan sahaja oleh orang yang beriman, juga kepada yang tidak beriman,” ujarnya.
Beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, berkata demikian ketika merasmikan Ceramah Penyakit Berjangkit dan Pemeriksaan Kesihatan di Masjid Al-Khalifah, Jalan Pusara, di sini pada 10 November
“Tokoh perubatan kita juga adalah Nabi Muhammad SAW yang menyuruh kita menjaga kesihatan dan ada hadis yang membawa maksud, ‘kebersihan itu sebahagian daripada iman’.
“Maknanya, ia ada kaitan antara kesihatan dengan keimanan, Islam juga mengajar kita (cegah) sebelum sakit, supaya kita berdoa, jaga makan, nabi-nabi pun tidak terlepas dari kesakitan,” jelasnya.


Justeru itu katanya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sentiasa menganjurkan program-program kesihatan dari semasa ke semasa.
“Sebelum kita (PAS) jadi kerajaan pun kita telah laksanakan program pemeriksaan kesihatan percuma, kerana kesihatan ini sangat dititikberatkan.
“Sakit, ini berubat bila kita sakit, tapi, Nabi (Muhammad) ajar kita sebelum daripada sakit cegah sebelum sakit,” ujarnya.
Katanya, walaupun langkah-langkah pencegahan telah dilakukan tetapi kesakitan masih dialami, itu adalah ‘bunga-bunga’ kasih sayang daripada Allah SWT untuk menaik taraf iman seseorang.
Program yang mendapat sambutan orang ramai itu telah dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), DUN Ladang.