Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951 telah mengalami pasang surut perjuangan, serta kepimpinan yang sentiasa berubah. Menarik juga apabila kepimpinan utama PAS akan menuntun cara PAS bekerja termasuk di bidang pendidikan. Secara radikal, peralihan kepimpinan baru berlaku pada tahun 1982 di dalam Muktamar PAS ke-28 yang berlangsung di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada 23 Oktober 1982.


PAS melalui ulama’ muda yang progresif telah menyusun skema dan program-program pentarbiahannya kepada ahli-ahli parti. Program pendidikan kepada ahli ini telah menjadi begitu rancak pada dekad 1980-an untuk membina pemikiran politik ahli PAS supaya diselaraskan dengan matlamat parti tersebut. Program pendidikan untuk ahli seperti usrah, tamrin, daurah, ijtimak dan sebagainya lagi program perkaderan dakwah, telah mewarnai parti tersebut apatah lagi dengan kebangkitan Islam yang berlaku di negara ini dan seluruh dunia. Aktivis muda PAS pula ghairah untuk menubuhkan rangkaian pendidikan dan telah memulakannya dengan penubuhan prasekolah yang dinamakan TASKI.


Fasa ini mencerminkan pemahaman PAS yang matang dan ‘visionary’ dalam erti kata PAS benar-benar memahami hakikat tidak boleh berlaku pemisahan di antara politik dan agama kerana Islam merupakan satu entiti yang syumul (Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif: 2001). Kepimpinan ulama’ yang menjadi tonggak baru kepimpinan PAS telah juga membawa budaya baru terhadap gerakan Islam tersebut selepas tahun 1982. Seluruh kepimpinan PAS bersaing dan berusaha untuk menubuhkan sekolah dan pusat pengajian, sama ada di kawasan atau di bawah seliaan dewan-dewan. Dewan Ulama’ dan Dewan Pemuda PAS antara organisasi PAS yang paling ke hadapan menubuhkan pusat pengajian selepas berlaku peralihan kepimpinan ulama’ pada tahun 1982.


PAS selepas dipimpin oleh kepimpinan ulama’ dikesan memberikan penumpuan kepada bidang pendidikan dan pemerkasaan dalaman parti dengan tujuan menghasilkan ahli-ahli yang faham kepada perjuangan Islam, bukan menjadi penyokong semata-mata, PAS telah menggerakkan program kaderisasi dengan lebih giat terhadap ahli-ahlinya di seluruh negara. PAS juga telah mula membangunkan pusat pendidikan bermula dengan prasekolah, sekolah rendah Islam dan juga membangunkan sekolah agama rakyat dengan lebih teratur.


PAS selepas dipimpin oleh kepimpinan ulama’ juga menunjukkan orientasi perjuangan yang lebih bersifat antarabangsa dan menunjukkan penegasan kepada gagasan Islam yang syumul. Ini juga berkait rapat juga dengan kesan pengaruh Ikhwanul Muslimin yang telah meresapi kepimpinan PAS yang mendapat pendidikan di dalam dan luar negara. Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan Al-Banna telah berjaya membangunkan sistem pendidikan mereka sehingga menjadi sebuah pertubuhan agama cuma politik yang berkesan di Asia Barat (Riduan Mohamad Nor, 2004).
Seluruh gerakan Islam di luar negara mempunyai orientasi yang sama, iaitu menggerak dan membangunkan pendidikan Islam. Ini terbukti seperti yang dilakukan oleh Jamiat Islami di negara Asia Selatan, Parti an-Nahdhah di Tunisia, gerakan an-Nur di Turki, Refah di Turki, Font Islamic Salvation (FIS) di Algeria dan parti-parti Islam di seluruh dunia.
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan)






























