Tahun Keempat Ledakan Krisis Kemanusiaan Syria

1481

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Bunga- bunga yasmin menyembunyikan diri dalam kesejukan hawa musim sejuk. Mentari yang agak malu minggu ini hanya memberikan khidmat yang pendek di waktu siang. Rayhanli seperti berselimut panjang dengan aktiviti malam yang agak terbatas. Aku menyerupup perlahan kopi hangat yang sangat berharga saat musim dingin ini.

Ingatanku melayang jauh kebelakang, menerobos kembali masa yang bergerak pantas meninggalkan kita yang termanggu. Empat tahun krisis Syria yang menelan ratusan ribu korban dengan perit tak tertanggung, jutaan menjadi pelarian ke pelbagai buah negara, termasuk Eropah. Berakar daripada penolakan rakyat terhadap regim Bashar pasca Arab Spring, membawa kepada pembantaian rakyat seterusnya mengheret pertembungan antara mazhab. Bashar didokong oleh Iran, Iraq, Soviet, China dan pelbagai negara yang lain.

Perjuangan rakyat Syria Sunni pula mendapat sokongan para jihadis pelbagai negara sehingga pertembungan menjadi sangat rencam, termasuk kehadiran ISIS yang menyebabkan konflik ini semakin tajam dan tak terjangkau. ISIS menjadi tema utama media sehingga menenggelamkan isu kejerihan dan kesengsaraan pelarian Syria di sempadan. Kematian demi kematian terutama di musim sejuk dengan suhu di bawah paras 0 darjah. Pelarian memakan apa sahaja yang mampu mereka telan termasuk merebus rumput, pokok kaktus, memakan kucing dan tikus.

Tanah Syria menjadi padang jarak, padang tekukur dengan lanskap kematian dan sungai darah yang sangat menggerikan. Turki sahaja terpaksa menampung dua juta pelarian Syria di sempadan negara itu, termasuk di Rayhalli sahaja angka pelarian telah mencecah setengah juta orang. Anak-anak yatim adalah fenomena dunia peperangan, apatah lagi dianggarkan kanak-kanak ini terlepas peluang mendapat pendidikan rendah dan menengah. Kesannya umat Islam Syria hilang satu generasi berpendidikan dan akan membawa kepada masalah hiliran yang lain.

NGO terbesar di Turki iaitu IHH melihat pendidikan kepada anak-anak pelarian ialah satu isu yang besar, maka mereka mempelawa Muslim Care Malaysia untuk sama-sama mencaknai ruang pendidikan. Banyak NGO-NGO menfokuskan kepada bantuan peralatan musim sejuk makanan dan minuman kepada pelarian. Ini mungkin kerana pendidikan akan melibatkan kos yang besar serta komitmen yang padu.

Kesan lain peperangan ialah pengaliran keluar tenaga pakar, tenaga kerja akademia serta profesional tahap tinggi dari Syria. Sebahagian besar mereka berhijrah ke Eropah yang menjanjikan peluang hidup yang lebih baik. Seandainya perang berakhir, sukar untuk menjangkakan tenaga pakar dan kaum intelek ini akan kembali semula ke Syria. “Brain drain” ini sangat merugikan tanah Syam dan juga melebarkan jurang sosio ekonomi.

Muslim Care Malaysia menggerakkan enam buah sekolah di Rayhalli dan satu di Idlib dengan kerjasama IHH Turki dan pelajar-pelajar anak pelarian ini kini berjumlah 1600 orang. Kunjungan Muslim Care ke Rayhalli disambut dengan meriah oleh relawan dan pelajar-pelajar tajaan Muslim Care, termasuk Ahli Parlimen serta Datuk Bandar Rayhalli. Rombongan yang terdiri daripada doktor-doktor perubatan, aktivis kemanusiaan pelbagai kepakaran ini juga melawat khemah pelarian, memberikan bantuan secara langsung kepada pelarian.

(Penulis ialah Ketua Penerangan Muslim Care Malaysia yang mengikuti misi bantuan musim sejuk Syria di Rayhalli )