40 Pegawai Media Akan Dilantik 15 Ogos Ini

3178

Oleh : Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu melantik seramai 46 orang, termasuk 36 orang kakitangan bertaraf ‘ad-hoc’ dan 10 orang kakitangan kontrak bermula 1 Ogos lepas sehingga 31 Julai 2019.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia) Haji Marzuki Endut berkata, seramai 40 orang Pegawai Media akan dilantik termasuk 32 orang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan orang di peringkat parlimen bermula 15 Ogos ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Lapor Diri dan Ikrar Perjawatan di Dewan Konvensyen di Wisma Darul Iman di sini pada 1 Ogos.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengarah Unit Penerangan Darul Iman (UPDI) Ustaz Mohd. Soud Said dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah serta beberapa orang kakitangan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia).

Dalam majlis tersebut seramai 24 orang kakitangan dilantik untuk bertugas di UPDI manakala 22 orang yang lain berkhidmat di i-MITS.

Sementara itu Haji Marzuki berkata, Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan yang terlibat dengan kesalahan jenayah sekaligus mengambil tindakan tegas memberhentikan perkhidmatan mereka sebagai kakitangan awam.

“Mereka seharusnya memahami peraturan-peraturan sebagai pejawat awam dan terikat dengan peraturan tersebut, ” ujarnya.