KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengesahkan Arak adalah antara barangan yang dijual di Zon (Pulau ) Bebas Cukai Tasik Kenyir yang akan mula beroperasi pada Januari 2016.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata demikian pada Sidang Dun Terengganu, Selasa 8 September.
Tambah beliau lagi, selain daripada arak, barangan seperti rokok, kain batik, pakaian, kasut serta pelbagai barangan lain turut akan dijual di sana.


Haji Wahid, yang menambah soalan asal wakil Batu Burok, YB Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, inginkan penjelasan berkaitan barangan yang akan menjadi tarikan di pulau yang dibangunkan dengan kos lebih RM100 juta itu.
Sehubungan itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan pengakuan Dato’ Mat Jidin itu tidak ada yang mengejutkan kerana dasar Umno itu sendiri yang ‘tidak Islamik’.
“Bagi saya tindakan Umno itu adalah satu tindakan yang tidak mengejutkan kerana apa yang kita harapkan dari kepimpinan Umno berkaitan dengan Islam.
“Inilah Umno yang sememangnya rakyat kenal sejak dahulu, jadi ianya tidak menghairankan. Jika ini yang dikatakan sebagai dasar kepada pemerintahan Islam ala Umno, maka rakyat seharusnya membuat satu pendirian yang tegas kepada cara Umno ini,” tegas beliau ketika diminta mengulas tentang perkara tersebut.
Bercakap berkenaan isu yang sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata dengan sinis, bahawa majoriti masyarakat Hulu Terengganu yang terdiri daripada melayu Islam itu ‘menyambut baik cadangan kerajaan itu’.


“Kami warga Hulu Terengganu khususnya daerah tempat Batu Bersurat (sejarah Islam) ini sangat berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah mendedahkan bagaimana sucinya perjuangan agama bangsa dan negara yang didendangkan (Umno) kepada rakyat.
“Dan saya percaya masyarakat di Hulu Terengganu ini sangat-sangat mengalu-alukan hasrat kerajaan kerana memilih Kenyir untuk bawa masuk perkara ini,”jelasnya.
Sebenarnya, kata beliau, tiada permintaan dari kaum bukan Islam untuk pembinaan Kawasan Bebas Cukai yang mempunyai arak ini.
“Ini adalah atas inisiatif kerajaan negeri yang bawa masuk (arak),”ujarnya lagi.
Oleh itu, masyarakat Hulu Terengganu perlu nilai perjuangan sebenar Umno dan kami Pemuda PAS dengan secara dasarnya, tersangat sedih dengan pengumuman yang diisytiharkan di dalam DUN yang mulia itu.


Haji Mohd Abdul Wahid Endut: “Apakah jenis barang-barang yang dikatakan akan ditawarkan bebas cukai?
Adakah macam kalau pergi tempat-tempat tertentu di Airport atau Pulau Langkawi yang bebas cukai seperti rokok bebas cukai, arak bebas cukai.
Jika boleh kita nak tahu barang-barang itu yang boleh memberikan semacam motivasi untuk orang pergi.Jikalau sekadar arak dengan rokok orang tak pergi bebas cukai pun melainkan yang suka hisap rokoklah.
Dato’ Mohd Jidin: Mengenai barang-barang, kita ada beberapa cadangan tetapi oleh kerana kita tak jual lagi, nak jawab payahlah, arak ke mungkin kain batik ke.
Yang saya difahamkan kasut ada, baju ada, beg tangan ada, arak pun ada, pinggan mangkuk pun ada.





























