300 Pelajar Gunting Rambut Percuma

1249

Oleh : Mohd Asraf

DUNGUN – Seramai 300 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, menerima perkhidmatan gunting rambut percuma menjelang sesi persekolahan 2019 ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, inisiatif perkhidmatan gunting rambut percuma itu dapat meringankan beban ibubapa pelajar berpendapatan rendah.

“Kita dapati ada keluarga mempunyai ramai anak yang masih bersekolah dan mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk menggunting rambut, sedangkan perbelanjaan lain lagi diperlukan untuk masuk sesi persekolahan baharu.

“Melalui program ini (gunting rambut), kita memberikan perkhidmatan secara percuma sahaja, yang mana sedikit sebanyak mampu meringankan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘Jom Gunting Rambut Percuma’ anjuran Pemuda PAS DUN Sura, di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Sura, Dungun, Isnin 24 Disember.

Cikgu Wan Hapandi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawan Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, berkata pihaknya akan meneruskan program tersebut sebagai khidmat sosial kepada masyarakat setempat.

“Insya’Allah, kita akan jadikan program ini sebagai acara tahunan dalam usaha membantu keluarga berpendapatan rendah yang masih mempunyai anak bersekolah,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah program, Wan Azhar Wan Deraman berkata, sambutan di kalangan ibubapa yang mempunyai anak sekolah amat menggalakkan.

Katanya, seramai 300 pelajar berumur antara tujuh tahun hingga 18 tahun yang berada di DUN Sura ini menerima perkhidmatan gunting rambut percuma.

“Pihak pejabat (DUN Sura) mendapat panggilan dan pertanyaan dari ibubapa hampir setiap hari tentang bila program ini bila akan diadakan.

“Maka, kita (Pemuda DUN) membuat keputusan untuk mengadakan program (gunting rambut percuma) ini sempena pembukaan sesi persekolahan (2019) yang tidak lama lagi,” ujarnya.

Menurutnya, PAS DUN Sura sentiasa melaksanakan aktiviti kebajikan untuk rakyat dalam pelbagai perkara termasuk bantuan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan banyak lagi.