20 Ribu Peluang Kerja Daripada Sumber Halal Dan Bersih

2231

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA TERENGGANU – Sekiranya diberi mandat untuk memerintah, PAS Terengganu yakin bukan sahaja dapat mewujudkan peluang pekerjaan, bahkan yang lebih penting, ianya dijana dari bidang-bidang ekonomi yang halal dan bersih.

Timbalan Pesuruhjaya II, YB Dr. Alias Razak berkata, ia bertepatan dengan tema manifesto PAS, yang mahu menjadikan Terengganu ini negeri Berkat, Maju dan Sejahtera.

“Semua orang sudah arif dan maklum bahawa Terengganu ini antara negeri yang masih mundur dalam negara kita dengan kedudukkannya baik sikit daripada Sabah dan Sarawak,

“Kita dikategorikan negeri yang masih ketinggalan dari sudut pembangunan , ekonomi , , pendidikan, kesihatan dan pelbagai lagi,

“Walaupun Terengganu dianugerahkan sumber yang begitu banyak antaranya sumber petroleum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual, mengulas tawaran Manifesto Awal PRU14 PAS Terengganu, ‘Mewujudkan 20 Ribu Peluang Pekerjaan dalam masa 4 tahun’ di Studio Harap TV, disini, semalam.

Katanya, walaupun pelbagai usaha boleh dibuat untuk meningkatkan peluang kerja, tetapi ia mesti bertepatan dengan pegangan PAS, yang berpanduan Al-Quran dan As Sunnah, Ijma Ulamak serta Qias.

“Maka kita juga kena ambil kira perkara dosa dan pahala…..tak boleh tiru orang sehingga kita dah melampaui dan melebihi had yang ditetapkan agama Islam,

“Dan yang penting juga memastikan ianya memberi kesejahteraan bukan kaya melampau tapi tidak ada kesejahteraan dalam hidup…….ita mahu mereka hidup dalam sejahtera,” jelasnya.

Menurutnya, rakyat pada hari ini merasa cukup tertekan kerana kenaikan harga barang yang telah menjadi satu beban yang terpaksa ditanggung semua, apabila GST dilaksanakan.

Oleh itu tegas beliau, mengurangkan beban ekonomi rakyat adalah antara perkara yang diutamakan, apabila PAS memerintah negeri Terengganu.

“Kita mungkin tidak mampu untuk mengurangkan harga barang…….nak hapus cukai diperingkat negeri kerana itu bukan bidang kuasa kerajaan negeri,

“Tapi kita mungkin mampu memberi peluang ataupun pekerjaan kepada golongan yang menganggur agar mereka ada pendapatan dan dapat mengatasi bebanan harga barang mahal dan dengan pendapatan yang tinggi insya Allah mereka boleh berjaya,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat data asas negeri Terengganu seramai 14, 800 orang rakyat Terengganu yang menganggur pada tahun 2014.

“Tahun 2015……statistik yang terakhir yang saya dapat temui dalam laman web (kerajaan) adalah 17,500 bermakna Terengganu masih ada penganggur yang begitu ramai,

“Di negeri (ini) dengan jumlah rakyat 1.16 juta (orang) lebih kurang penganggurnya ada 17, 500 dan kadar pengangguran adalah 4.2 peratus,” katanya lagi.

Ia adalah, kata beliau, antara negeri mempunyai kadar pengangguran yang tinggi dan menjadi focus PAS untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Justeru itu, beliau yang juga ADUN Bukit Tunggal berkata, PAS sudah mengenalpasti pelan tindakan dan kaedah, bagaimana untuk keluar dari masalah itu dan pelaksaannnya dapat direalisasikan apabila rakyat memberi mandat kepada PAS untuk memerintah.

“Kita telah membuat beberapa kajian, kita ada pasukan kita yang telah mengkaji bagaimana kita (menjadi) sebuah kerajaan negeri (yang) mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan yang mungkin dikira begitu besar dalam tempoh 4 tahun,

“Sebenarnya UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) sendiri telah menganggarkan juga dalam taklimat kepada kita bahawa menjelang tahun 2020………tak silap saya menjangkakan peluang pekerjaan kepada Terengganu 41 ribu,

“Tapi selama ini, rekod (kerajaan) Umno dan Barisan Nasional memerintah, tak pernah capai (apa) yang dijanji…….lima ribu setahun pun tak capai. Dengan ‘track’ rekod yang mereka usahakan setakat ini belum berjaya,

“Itu cuma perancangan mereka, tapi kita ada perancangan sendiri dan tak bergantung pada perancangan mereka,” katanya.

Beliau berkata, PAS akan memberi tumpuan kepada 10 sektor yang penting yang akan yang belum dimanupulasi sepenuhnya berdasarkan sumber yang sedia ada di negeri Terengganu.

“kebanyakannya bergantung kepada sumber yang ada di negeri Terengganu….yang belum di manipulasi dan belum lagi diusahakan secara maksimum,

“dimana kita kira kalau 10 (sektor ini) diusahakan dengan maksimum …….ia akan mencapai apa yang kita anggarkan (sebanyak 20,000) peluang pekerjaan,” tegas beliau.

*** Ikuti temubual bersama ADUN Bukit Tunggal, YB Dr Alias Razak mengulas tawaran manifesto awal PRU14 PAS Terengganu, “Mewujudkan 20 Ribu Peluang Pekerjaan dalam masa 4 tahun”