KUALA TERENGGANU – Isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berulang kali mencetuskan kontroversi dalam negara perlu dilihat sebagai satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan, tegas beberapa pemerhati sosial dan keagamaan.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, persoalan utama perlu diteliti ialah kemungkinan adanya unsur provokasi oleh pihak tertentu, terutamanya melalui penganjuran acara-acara umum yang secara terang-terangan membawa simbol atau mesej sokongan terhadap LGBT.
“Saya pun hairan isu LGBT tak habis-habis. Apakah mereka mempunyai pautan antarabangsa (international link) dalam gerakan menormalisasi LGBT,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.
Lebih membimbangkan, kata,beliau, adalah golongan yang menyokong amalan ini dilihat tidak memahami atau sengaja membelakangi undang-undang dan sistem sosial negara secara jelas menolak budaya songsang ini.
Tambah beliau, walaupun semua agama tidak menerima amalan LGBT, Islam terutamanya menolak perlakuan ini secara tegas kerana ia bertentangan dengan ajaran al-Quran dan fitrah manusia.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mempromosikan gaya hidup bertentangan dengan fitrah manusia dan ajaran Islam.
Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh berkata, beliau menyatakan pendirian tegas menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk usaha normalisasi budaya LGBT yang disifatkan sebagai agenda songsang mencetuskan keresahan umat Islam dan rakyat Malaysia secara umumnya.
“Sebanyak 188 laporan polis yang diterima membuktikan betapa rakyat menolak usaha normalisasi agenda songsang yang bertentangan dengan hukum Islam dan fitrah manusia,” jelasnya.
Ustazah Nuridah menegaskan bahawa Islam secara jelas mengharamkan perbuatan liwat, lesbian dan apa jua perbuatan yang menyeleweng daripada syariat, kerana ia membawa kepada kerosakan institusi keluarga dan masyarakat.
Ustazah Nuridah turut menyatakan sokongan terhadap tindakan pantas pihak polis dan agensi penguat kuasa dalam menyiasat penganjuran program yang berkait dengan promosi LGBT.
“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan Malaysia terus terpelihara daripada budaya yang mengancam akhlak generasi.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah memelihara tanah air ini daripada fitnah dan kerosakan moral yang semakin meruncing,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ustazah Nuridah menyeru seluruh rakyat, khususnya umat Islam, untuk berganding bahu dalam menolak budaya songsang ini dan memperkukuh jati diri Islam yang suci dan mulia.