Jadikan Ucapan Dasar Presiden Sebagai Hala Tuju

1265

Oleh : Adli Mohamad

KUANTAN- Ucapan Dasar Presiden PAS dengan tema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ akan dijadikan teks usrah untuk difahami dan dihadam
hingga ke akar umbi sebagai hala tuju parti.

Sambil menyifatkan ucapan tersebut sebagai amat harmoni, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata ianya telah mengariskan beberapa panduan yang merangkumi pelbagai aspek.

“Meliputi semua aspek yang melibatkan strategi dalaman dan luaran parti, juga melibatkan isu-isu semasa yang sedang berlaku di dalam dan juga luar negara,” ucapnya.

Beliau yang ditemui pihak media, ketika hadir di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-65, di Stadium Tertutup SUKPA, di sini pada Jumaat 21 Jun.

Menurut Ghazali, banyak perkara yang digarap dan disebutkan jika difahami dengan sebaiknya PAS akan semakin dilihat dan mampu menambat hati semua pihak di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam.

“InsyaAllah dengan strategi yang bakal diatur melalui ucapan dasar itu akan membawa kemenangan kepada PAS untuk menerajui Negara Malaysia serta mempertahankan negeri yang dimenangi iaitu Kelantan dan juga Terengganu, ” jelas beliau.