BESUT- Muslimat hari ini, bukan lagi ‘penghuni di ceruk dapur’, tetapi mereka adalah merupakan tonggak atau tenaga penting di dalam pembangunan negara.
Ketua Muslimat PAS Negeri Terengganu, Hajah Zarani Othman berkata sememangnya muslimat berperanan penting dalam mencorak masa depan sesebuah masyarakat.
“Pepatah Melayu ada mengatakan ‘Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia’. Itulah senario sebenar muslimat pada hari ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian sebagai salah seorang ahli panel untuk slot Ijtimak Muslimat dalam program Seni dan Dakwah LESTARI 2019 di Kompleks Pendidikan Tahfiz An Nur Besut, Kg Alor Belanga, Jertih, di sini pada 2 Mac.


“Jika suasana didikan di rumah tidak sempurna maka akan tidak sempurnalah pembentukan peribadi penghuninya.
“Sekaligus mengundang pelbagai masalah sama ada kepada keluarga mahupun diri anak- anak,” ujarnya.
Zarani seterusnya menyeru, bermula daripada sekarang, semua muslimat perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya generasi yang berwawasan dan berakhlak mulia dapat dilahirkan.
Turut bersama menjadi ahli panel ialah Dr Asiah Ali, Ast.Prof Dr Uzaimah Ibrahim dan Hajah Nafisah Ismail.





























