Oleh Nooreni Abu Bakar.
DUNGUN- Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengamalkan pentadbiran yang dasarnya adalah Islam dengan Al-Quran, hadis Nabi, ijmak dan qias menjadi rujukan.
Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT), Ustaz Mohd Nor Hamzah memberitahu, ini kerana kerajaan adalah di bawah kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia(PAS) yang menjadi dasar parti adalah Islam.


“Maka dalam memimpin, hidup berkomuniti, pendidikan, kebajikan, kebudayaan, pelancongan, sukan dan apa sahaja yang ada dalam kerajaan tidak boleh lari daripada Islam kerana dasar kita Islam, ” ujarnya beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong itu juga, menjelaskan demikian ketika berucap di Majlis Dialog bersama Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu di sini pada 13 November.


Mohd Nor seterusnya menambah, manakala pentadbiran pula digerakkan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang mengandungi sembilan kriteria.
“MPKK yang paling bawah, imam, bilal dan Pengerusi Masjid, i-MiTS, Ahli – Ahli Mqajlis sehinggalah kepimpinan di peringkat negeri yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar mesti bercirikan sembilan kriteria ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera(BPMS) , ” jelasnya.
Menurutnya BPMS yang bertunjangkan prinsip iaitu Islam, walaupun tidak disukai sesetengah orang.
” Prinsip dia apa, Islam, kalau yang dulu comel(elok) kita teruskan, kalau yang dulu comel tapi ada benda yang tak molek kita hentikan, ” tambah beliau lagi.
Diantara kriteria BPMS juga, katanya politik dakwah dimana PAS bukan sekadar parti politik, di dalam masa yang sama berdakwah.
” Kita nak dakwah Puteri Umno, sebab dulu dia nampak Umno ni comel, jadi kita nak dakwah mereka, ” ceritanya.
Majlis sumbang saran itu telah berjaya menarik kehadiran seramai lebih 200 peserta dan turut dihadiri Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Dungun, Hajah Khairiah Mokti.