Merealisasikan Wakaf Mempelam Sejahtera

2235

KUALA TERENGGANU: Semua Ahli Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri(DUN) Wakaf Mempelam dan  ahli-ahli PAS DUN perlu saling lengkap melengkapi untuk merealisasikan ‘Wakaf Mempelam Sejahtera’.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ahli jawatankuasa di peringkat cawangan-cawangan akan menyalur maklumat dan seterusnya mengatur program-program bersama masyarakat.

“Pihak DUN pula akan berkerjasama menjayakannya,” ujar beliau lagi.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Dua, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu itu ditemui ketika menyertai ziarah ke Losong Haji Mat Shafie di sini bersama pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) tersebut Haji Abd Wahid Idris pada 4 Oktober.

Wan Sukairi berharap hubungan erat ini akan berterusan untuk terus mengekalkan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ di bawah PAS.

“Terutama adanya MPKK yang lebih mudah untuk kita bekerja dengan kerjasama agensi- agensi kerajaan”, jelasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan itu juga meluangkan sehari dalam seminggu untuk bersama rakyat dalam DUN tersebut.

” Dalam sehari ini insyaAllah saya akan cuba selesaikan masalah yang berbangkit di DUN Wakaf Mempelam dan saya pilih khamis untuk bersama mereka”, jelasnya.

Sementara itu, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(I-MITS) DUN, Haji Radzali Abd Ghani berkata program ziarah dan sembang kedai kopi antara program yang diatur pihak I-MITS DUN untuk lebih mendekatkan rakyat dengan wakil rakyat baru itu .

“InsyaAllah program sehari bersama YB Ustaz Wan Sukairi ini akan diteruskan kerana kita mahu rakyat tahu bahawa  kesibukkan sebagai exco tidak menghalang YB kita turun bertemu rakyat marhaen”, katanya.

Beliau yang sentiasa mengiringi ADUN tersebut turun ke kampung-kampung dan membantu menyelia urusan DUN pada hari-hari lainnya.

Manakala MPKK Kampung Nyor Kembar, Saudara Mat Lani Ahmad berharap program ‘YB bersama rakyat’ ini berterusan dengan wakil rakyat meluangkan masa menziarahi mereka yang sakit dan uzur.

“Saya juga bersyukur kerana sebelum ini jika ada kematian YB akan segera turun dan jika berkesempatan dapat mengimamkan solat jenazah . Alhamdulillah”, ujarnya yang turut sama mengiringi ziarah dengan bermotor tanpa mengira hujan dan kebasahan.