KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diberi mandat mentadbir negara perlu menumpukan kepada urus tadbir yang baik dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia tanpa sebarang kompromi.
Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, sekarang adalah masa yang terbaik bagi parti-parti dalam PH, membalas kepercayaan rakyat untuk kebajikan mereka dan ekonomi negara.
“namun saya lihat sekarang, selepas kemenangan kerajaan yang baharu ini, terlalu banyak pihak yang mempersoalkan perlembagaan negara kita,
“dan ini mampu mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negara,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang merasmikan pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Perak kali ke-14, semalam 6 Ogos.
Menurutnya lagi perkara 153, menjadi salah satu perenggan penting dalam perlembagaan negara kini, sudah berani disentuh oleh sesiapa sahaja.
Justeru beliau menggesa kerajaan tidak mempedulikan individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab, yang cuba menggugat keharmonian negara.
“saya berharap kerajaan baharu sekarang tidak perlulah melayan kehendak-kehendak pihak dan individu yang cuba mendesak kerajaan untuk memenuhi kehendak mereka,
“Jangan khianati amanah yang telah diberi oleh rakyat,” tambah beliau.




























