Hakisan Pantai; AP Kuala Nerus Akan Jumpa Menteri

3575

Oleh : Rohayati Ripin (2R)

KUALA NERUS – Masalah hakisan pantai yang tidak berkesudahan akan dibawa kepada Menteri terbabit pada pembukaan sidang parlimen, tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Ustaz Dato Khairuddin Aman Razali berkata, beliau akan menyuarakan pandangan terhadap isu yang berbangkit dalam Sidang Dewan pada 16 Julai sehingga 16 Ogos.

“Hakisan ada dua segmen iaitu kerajaan negeri dan segmen persekutuan serta untuk segmen kerajaan negeri saya akan bawa berunding perkara ini seperti mana idea saya bawa sebelum ini,

“iaitu untuk yang disempurnakan dengan dua cara antaranya satu timbunan batu diikuti dengan timbunan pasir memanjangkan pantai,

“dan saya akan bawa (perkara ini) pada kerajaan negeri kerana peruntukan kewangan datang daripada peringkat persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Rumah Terbuka Aidil Fitri di kediamannya, Lembah Takir, Kampung Baru, Seberang Takir pada Hari Selasa, 19 Jun.

Katanya, beliau akan meneruskan rundingan berkenaan isu tersebut dan yakin ada sinar baru bagi menyelesaikannya.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, kerajaan negeri Terengganu akan memberikan fokus kepada ruang pembangunan yang boleh di perbaiki diperingkat Parlimen Kuala Nerus.

“Insya Allah dengan mandat lima tahun pemerintahan ini, kita akan gunakan sebaiknya untuk berikan yang terbaik kepada rakyat,

“terutama dari sudut hak-hak rakyat untuk mendapatkan kediaman dan mendapatkan tanah serta juga peluang pekerjaan di antara yang kita akan laksanakan,” ujarnya.

Menurutnya, beliau akan menjadikan Kuala Nerus sebagai bandar Ilmu dan bandar pelancongan dengan pantai yang indah dan tradisi kampung yang menyerlah.