Oleh : Rohayati Ripin (2R)
KUALA TERENGGANU – Banyak projek melibatkan kerajaan persekutuan masih belum dapat diselesaikan oleh kerana pembentukan kabinet belum disempurnakan.
Exco Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia termasuk projek pembinaan jalan KT-Bypass.
Kata beliau, projek tersebut telah pun berlangsung sebelum daripada ini dan pada peringkat kerajaan PAS tiada masalah untuk meneruskannya.
“Cuma kita akan selesaikan isu berkaitan dengan tuntutan daripada beberapa penduduk yang terlibat tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang sangat sedikit yang diterima sebelum ini,
“Jadi perkara itu sedang kita usahakan untuk menyelesaikannya dan ia adalah projek di bawah kerajaan pusat sebenarnya,” katanya.


Katanya, semua perbelanjaan yang melibatkan KT- Bypass adalah daripada kerajaan pusat dan pada peringkat pusat belum pembentukan kabinet yang sepenuhnya lagi.
“Kita akan menunggu sehingga segalanya sempurna dan insya Allah kita letakkan ia sebagai satu agenda utama,
“yang akan kita selesaikan di peringkat negeri Terengganu khususnya kepada yang terlibat dalam kes KT- Bypass,” ujarnya.


Selain daripada itu, kerajaan Negeri Terengganu tetap meneruskan program yang sedia dilakukan oleh kerajaan sebelum ini seperti duit dana raya dan dana bakti remaja.
“Dana raya masih diteruskan bahkan penambahbaikan dengan cara di tambahkan lagi jumlah penerimanya,
“dan saya difahamkan lebih daripada 100 ribu orang penerima baru yang menerima dana raya pada kali tahun ini,
“begitu juga baki pemberian dana bakti dilakukan kerajaan yang terdahulu yang masih belum menerima kita masih lagi meneruskannya,” jelasnya.
Tambahnya, agensi kerajaan contohnya Tabung Darul Iman dan MAIDAM serta Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membantu mana-mana rumah yang sangat uzur untuk dibaiki dengan kadar segera.



























