Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan mempermudah dan mempercepatkan proses bantuan Tabung Darul Iman (TDI), bagi mengelakkan birokrasi hingga menyusahkan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pindaan bagi proses kelulusan Tabung Darul Iman (TDI) dipermudahkan untuk rakyat.
Katanya, amalan sebelum ini bagi kelulusan TDI itu agak menyusahkan rakyat serta berlaku birokrasi di peringkat tertentu.
“Projek perintis pertama sejak mengambil-alih kerajaan (Terengganu) ini kita buat untuk mangsa kebakaran rumah di Kampung Losong, pada minggu lalu.
“Jika sebelum ini, bila berlaku kebakaran rumah. Pemilik rumah terpaksa menunggu masa antara lapan hingga 10 bulan untuk kerajaan membina rumah baharu pada kadar RM40,000 sebuah.


“Antaranya, tidak perlu kepada tandatangan J3K (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri). Dia (pemohon) boleh terus kepada Tabung Darul Iman (TDI) yang proses dan hantar kepada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).
“Pihak JKM pula tidak perlu keluar tendar, buat sebut harga tetapi terus kepada kontraktor mengikut gilirannya. Projek perintis pertama ini, kita buat kepada dua orang pemilik rumah terbakar di Kampung Losong, minggu lalu,” jelasnya
Beliau ditemui di Pejabat Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Tingkat 5, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada Khamis 31 Mei.


Selain itu, katanya TDI juga akan mempermudah dan mempercepatkan proses permohonan kepada pesakit kritikal atau kronik yang memerlukan pembiayaan.
“Proses permohonan bagi pesakit kritikal atau kronik di TDI itu juga dipermudahkan bagi mengelakkan birokrasi. Dia hanya perlu kelulusan di peringkat pegawai TDI sahaja.
“Kita tidak mahu ada pesakit yang terpaksa mengambil masa lama menunggu hingga dua minggu kelulusannya. Kita hendak percepatkan dan kurangkan birokrasi. Saya sudah bincang dengan Pengarah JKM untuk memudahkan proses itu,” jelasnya.
Namun, kata Hanafiah lagi, jumlah bantuan yang diberi itu tiada had tetapi atas budibicara di peringkat, Pegawai Pengurusan TDI untuk sesuatu penyakit yang hendak diluluskan.



























