KUALA NERUS – Kerajaan PAS akan mewujudkan kelas mempelajari Al –Quran melalui teknik Braille di setiap Daerah untuk membantu Persatuan Orang- Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pusat tersebut masakini hanya terdapat di Kuala Nerus.
Beliau berkata, para pelajar terpaksa datang dari jauh, daripada Jabi, Pulau Kerengga, Tok Jiring, Kemaman, Jerteh dan Besut terpaksa datang kerana yang ada hanya satu kelas di seluruh negeri.
“Saya telah melihat sendiri keadaan bangunan yang telah dijadikan pusat aktiviti mereka antaranya kelas bahagian Al Quran Braille yang melibatkan tujuh kelas termasuk salah satunya kelas Tarannum,
“dan kita dapat melihat sendiri kedaifan kelas ini kerana tidak ada dinding serta tidak ada sekatan yang membezakan kelas yang ada disini,” katanya.


Katanya, pihak kerajaan akan mengambil cakna apa yang disuarakan oleh rakyat yang cacat penglihatan untuk berusaha sendiri dalam bidang perniagaan.
“Kita minta supaya sekurang-kurangnya 10% KIOSK ataupun kedai yang dibina itu dikoatakan dan diberikan kepada rakyat penglihatan serta kategori OKU yang lain di semua daerah,
“dan peluang kemahiran yang pihak kerajaan boleh berikan pada mereka supaya mereka dapat berdikari serta dapat mencari sumber pendapatan mereka sendiri,
“tanpa perlu bergantung sumbangan daripada pihak kerajaan ataupun Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM),” ujarnya.
Menurutnya, pihak kerajaan akan berbincang dengan agensi seperti MAIDAM dan agensi masjid serta agensi lain agar dapat menyelesaikan masalah pengangkutan untuk membawa golongan Orang kurang Upaya (OKU) penglihatan menunaikan ibadat solat jumaat dan terawih.


“Sekiranya tidak ada kita akan cari serta pastikan kelas itu ada tenaga pengajar untuk meneruskan program kita ini,
“dan pada peringkat awal pihak kerajaan akan melihat mana-mana premis kerajaan yang boleh digunakan untuk mewujudkan kelas ini contohnya Balai Raya dan Sekolah Islamik di bawah Yayasan Islam Terengganu,” jelasnya.
Tambah beliau, kelas PERTIS diwujudkan pada tahun 2007 yang dahulunya seorang tenaga pengajar dan tujuh orang pelajar dan kini mencecah 60 orang pelajar serta lapan orang guru.
“kelas beroperasi tiga hari dalam seminggu bermula hari Ahad, Isnin dan selasa pada pukul 10 pagi hingga satu petang,” kata beliau.





























