Usaha Bina Dan Bangun Insan Rabbani

3319

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu yang baharu sedang berusaha menyusun satu Institut Modal Insan yang berperanan untuk membina dan membangun serta melahirkan insan Rabbani yang hidup dengan agama Allah serta hidup sejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ini merupakan kerja yang agak besar untuk membina masyarakat dan insan di negeri Terengganu.

Katanya, ia agar mereka hidup dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah serta melahirkan sebuah masyarakat dan negeri yang sejahtera.

“kami baru masuk ke Wisma Darul Iman bagi melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat dan kerajaan negeri,

“dan kami sedang merancang beberapa perkara bagi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas selesai menyampaikan tazkirah zohor di Dewan Besar Wisma Darul Iman pada Sabtu, 20 Mei.

Katanya, beliau baru sahaja dilantik menunaikan satu portfolio iaitu satu bidang kuasa kerja pembangunan insan dakwah dan penerangan.

“Saya telah merancang beberapa program yang kita akan laksanakan untuk menyampaikan kepada rakyat,

“dan diwaktu yang sama kita juga mencuba untuk memperkasakan penerangan agar segala maklumat yang ada serta perkara yang dilakukan oleh pihak kerajaan khususnya perjalanan program yang dilakukan oleh YAB Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan sampai kepada masyarakat,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan mahu rakyat menilai bahawa kita sedang melakukan banyak perkara untuk kepentingan rakyat.

“Jadi bagilah ruang untuk kami mengurus dan mentadbir serta menyusun beberapa aktiviti- aktiviti untuk kepentingan masyarakat,” jelas YB Mohd Nor Hamzah lagi.