KUALA NERUS – Para guru harus menekankan pengajaran dan menerapkan nilai-nilai agama dalam diri pelajar sebagai asas dan teras dalam diri mereka supaya menjadi sumber tenaga manusia yang berintegriti kepada negara.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, guru mesti menjadi teladan yang baik untuk masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan kefahaman dan budaya luar pada zaman globalisasi dan tsunami informasi tanpa sempadan.
“Munculnya para pemimpin yang ‘korupsi’ adalah sangat malang kepada kita semua dan ia merupakan bukti kemuncak sesuatu tamadun sedang berada di ambang kejatuhan,
“aspek pendidikan mesti tetap dipastikan menjadi bidang terpenting dalam pembangunan rakyat dan negara ini.
“serta Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini pelbagai aspek landskap negara sedang mengalami perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya sempena sambutan Hari Guru pada Rabu, 16 Mei.
Katanya, peranan dan pengaruh warga pendidik ini tidak setakat di dalam bilik darjah bahkan mestilah dibawa sehingga ke dewan Parlimen.
“Warga pendidik mesti berani ke hadapan dan menonjolkan diri serta menguatkan suara bagi menyampaikan pandangan dan cadangan serta mengemukakan kritikan,
“dan individu yang dililih untuk menerajui kementerian berkaitan mesti dipastikan adalah dalam kalangan warga pendidik yang mempunyai pengalaman yang luas,
“serta berpengetahuan yang mendalam mengenai sektor pendidikan,”ujarnya.
Menurutnya, dasar dan polisi mestilah dipastikan demi kebaikan rakyat dan negara bukan untuk kepentingan pemimpin serta parti tertentu.
“Golongan yang berilmu ini diangkat kedudukannya di sisi Allah adalah kerana kemuliaan ilmu itu sendiri dan pentingnya peranan golongan ini terhadap pembangunan tamadun kemanusiaan,
“dan tamadun mana pun sekiranya tidak memuliakan ilmu serta tidak menghormati guru pasti akan rebah binasa menyembah bumi,”jelasnya.
Justeru, inilah hakikat sebenarnya ‘murabbi’ bukan hanya sekadar mengajar subjek tetapi membina dan memelihara serta memacu kecemerlangan rakyat dan negara sehingga diberkati Tuhan sekalian alam.






























